Belia Palestin lancar inisiatif penggunaan beg kain

GAZA – Baraa al-Madhoun dan Ghadeer al-Saqa, dua wanita muda Palestin dari Semenanjung Gaza yang disekat, menghabiskan berjam-jam menjahit beg kain, yang dikhaskan untuk inisiatif mereka mengurangkan penggunaan beg plastik di pesisir kepungan.

Bersama dengan lima penduduk asli Gaza yang lain, mereka melancarkan inisiatif bernama My Bag yang mengedarkan beg kain dalam kalangan pemilik dan pelanggan kedai dengan idea untuk mengubah pola pemikiran masyarakat Palestin.

Untuk mengelakkan beg “kelabu dan membosankan”, mereka menghias beg, diperbuat dari pakaian lama atau sisa-sisa yang mereka dapatkan dari kilang tempatan, dengan lukisan atau sulaman tradisional Palestin.

“Kami ingin menerapkan budaya baharu di sini dan mendorong orang ramai untuk menggunakan beg kami dan bukannya produk plastik berbahaya bagi alam sekitar dan terbiar di tanah selama beberapa dekad sebelum mula membusuk,” kata al-Madhoun kepada media.

Menurut laporan Biro Statistik Pusat Palestin pada tahun 2018, rata-rata sampah isi rumah di Semenanjung Gaza berjumlah 716 tan, kira-kira 12 peratus daripadanya adalah plastik.

Beberapa orang pemuda Palestin membuat beg kain di sebuah bengkel di Kota Gaza, dalam usaha mereka memerangi pencemaran plastik. – Xinhua
Seorang pemuda menulis ‘Tidak kepada beg plastik’ di atas beg kain. – Xinhua

Penyimpanan sampah bukan satu-satunya masalah di Palestin. Perkara lain adalah cara pihak berkuasa membuang sampah, biasanya dengan membakar atau membuangnya ke laut, kedua-duanya ‘memusnahkan alam sekitar.’

“Kami menghadapi bencana alam sekitar di sini, terutama sejak kita tinggal di Semenanjung Gaza yang terkepung, tidak mempunyai kilang, atau kemudahan mengitar semula sampah. Jadi apa yang tersisa untuk kita lakukan adalah mencuba dan menyebarkan budaya menggunakan beg kain bagi mengekang penyebaran plastik di kawasan itu,“ kata al-Madhoun.

Bertekad untuk mencapai tujuan itu dan bersedia memberi inspirasi kepada teman sebayanya, wanita muda Palestin membawa beg fabriknya ke beberapa pasar dan pusat membeli-belah tempatan, menawarkannya kepada pelanggan di sana.

“Apabila ada yang bertanya tentangnya kepada saya, saya menjawab bahawa beg ini adalah beg moden yang dapat membantu kita mengurangkan penggunaan plastik,” katanya, sambil menegaskan bahawa konsepnya bukanlah perkara baharu tetapi berpotensi membantu warga Gaza mengatasi banyak cabaran kesihatan yang memberikan tamparan hebat ketika dalam kepungan beberapa tahun kebelakangan.

“Selama bertahun-tahun, puluhan wabak dan penyakit telah merebak di sebahagian Semenanjung Gaza kerana pencemaran yang terkumpul di sini… Ini mengubah landskap persekitaran dan memburukkan lagi kesejahteraan kita secara keseluruhan, terutama memandangkan Gaza tidak memiliki prasarana baik bagi membuang sampah,” al-Madhoun menjelaskan.

Al-Saqa, ketua lain dalam inisiatif My Bag, percaya bahawa generasi baharu dapat mengubah tabiat lama buru itu yang membahayakan kesihatan manusia.

“Sekarang, kami adalah sekelompok kecil, tetapi saya berharap inisiatif kami akan berkembang untuk merangkumi semua masyarakat Gaza,” kata wanita muda itu.

Ahmed Al-Madhoun, koordinator inisiatif dari kota Gaza, mengatakan kepada media bahawa mereka berhasrat dapat mendorong orang ramai, terutama generasi muda, untuk menggunakan beg kain dan bukannya plastik.

“Revolusi industri telah merugikan kehidupan persekitaran dan kesihatan manusia kerana kita hidup dalam lingkaran yang terintegrasi,” kata pemuda itu, ketika dia memeriksa halaman inisiatif mereka di Facebook.

“Beg plastik memerlukan bertahun-tahun untuk dimusnahkan dan dibakar atau dibuang ke laut tidak menyelesaikan masalah. Ini hanya menjadikan keadaan lebih buruk,” jelas Al-Madhoun. – Xinhua