Belia pegang peranan penting dalam pembentukan dunia

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 DIS – Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) sentiasa mengenali peranan penting yang dimainkan oleh golong belia dalam membentuk masa hadapan negara dan dunia.

Di seluruh dunia, golongan belia telah mengambil tindakan dalam pelbagai inisiatif dan aktiviti pengurangan perubahan iklim serta menerajui usaha perubahan pemikiran ke arah cara hidup yang lebih mampan.

Oleh itu, golongan muda bukan sahaja mempunyai cita-cita dan semangat tetapi mereka juga menawarkan perspektif baharu untuk menerajui penyelesaian dan dapat memimpin perubahan yang diperlukan untuk menangani perubahan iklim.

Perkara itu dinyatakan oleh Pemangku Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Hajah Noraini binti Haji Sulaiman dalam rakaman video ucapan alu-aluannya semasa Perasmian Sidang Kemuncak Pemerkasaan Belia BIBD (BIBD YES!) 2021 yang berlangsung secara maya, kelmarin.

Perasmian BIBD YES! 2021 disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah selaku pengerusi BIBD.

Hajah Noraini ketika menyampaikan ucapan alu-aluannya semasa perasmian BIBD YES! 2021 yang berlangsung secara maya.

Hajah Noraini dalam ucapannya lagi berharap BIBD YES! akan merangsang dan memperkasa belia untuk menjadi ejen perubahan, usahawan dan inovator serta menyeru semua belia untuk bertindak sekarang kerana masa hadapan akan dibentuk oleh tindakan mereka.

BIBD YES! 2021 membawa tema ‘Membangun Pemimpin Masa Hadapan Berdaya Tahan‘ dan membina daripada momentum sidang kemuncak 2020, walaupun dikendalikan secara maya, sebanyak 66 buah institusi dengan 965 orang pelajar telah mendaftar untuk menyertai sidang kemuncak berkenaan.

Di samping itu, acara itu juga menyaksikan kehadiran seramai 72 orang guru serta 20 orang peserta antarabangsa daripada 15 buah negara.

Ketua Pegawai Pemasaran BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar yang menyelia program BIBD YES!, menyatakan bahawa BIBD memandang pendidikan dan pembangunan belia sebagai tonggak mustahak bagi tanggungjawab sosial korporat bank berkenaan.

Beliau menambah bahawa sidang kemuncak berkenaan adalah pelaburan bagi masa hadapan negara dan amat menghargai badan-badan korporat lain yang berkongsi sentimen itu, berganding-bahu bagi usaha tahunan yang bermakna itu.

Jumlah penaja bagi BIBD YES! 2021 telah meningkat dua kali ganda berbanding dengan 2020, walaupun menghadapi cabaran ekonomi di mana kesemua lima penaja daripada 2020 meneruskan komitmen untuk menyokong sidang kemuncak berkenaan bersama-sama dengan lima buah syarikat tambahan menunjukkan sokongan masing-masing.