Belia perlu berpegang kepada Al-Quran

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Feb – Belia yang mahu bersikap dan berperilaku dengan akhlak sempurna dan berakhlak mulia diseru berpegang pada Al-Quran.

Penolong Pegawai Buku Teks dan Kurikulum, Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Haji Mohammad Khairul Azhar bin Idris berkata, belia di Negara Brunei Darussalam merupakan aset penting untuk masa depan negara dan golongan belia juga berperanan penting dalam masyarakat dan negara untuk merealisasikan wawasan Negara 2035.

Katanya, golongan belia menggunakan potensi akal dan kekuatan untuk tujuan kebaikan, sebesar apa pun rancangan pasti akan menjadi realiti.

“Dengan itu bermula daripada pemimpin belia, ibu bapa dan guru sewajarnya memberikan penekanan pendidikan agama dan juga akhlak dalam diri anak-anak dengan elemen yang positif agar menjadi pembimbing pada masa hadapan”.

Beliau menekankan perkara ini dalam Tazkirah Subuh bertajuk ‘Peranan Belia Dalam Menjayakan Wawasan Negara’ semasa Program Masjidku Makmur, Negara Berkat’ minggu ini di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara.

Hadir bersama-sama jemaah masjid bagi menjayakan program tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Setiausaha Tetap di KHEU, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Serudin bin Haji Timbang.

Program berkenaan yang minggu ini dikendalikan oleh KHEU dengan disokong oleh Jabatan Perdana Menteri, merupakan program mingguan dan ajakkan bagi mengalu-alukan jemaah meningkatkan kehadiran bagi memakmurkan masjid dan seterusnya bersama-sama secara istiqamah (berterusan) mendirikan sembahyang fardu Subuh secara berjemaah pada awal waktu di masjid.

Makmurnya masjid-masjid di negara ini, adalah antara landasan bagi menggandakan amal kebajikan dan meraih keberkatan dari Allah SWT bagi diri, keluarga dan juga Negara.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti semasa mendengar tazkirah Subuh bersama jemaah lain.