Friday, February 7, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Belia perlu kukuhkan jati diri keBruneian

    Oleh Sim Y. H.

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Mei – Golongan belia selaku generasi penyambung jentera pentadbiran kerajaan dan generasi yang merealisasikan Wawasan Brunei 2035, adalah penting bagi mereka mengukuhkan jati diri keBruneian dan menanamkan semangat bersandarkan falsafah negara Melayu Islam Beraja.

    Perkara itu adalah menyahut petikan titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam semasa Majlis Bersama Rakyat dan Penduduk Negara Brunei Darussalam yang berada di United Kingdom dan Northern Ireland dan Penganugerahan Biasiswa Chancellor’s Scholar Universiti Brunei Darussalam Sesi 2014/2015, ‘Pertahankanlah jati diri, integriti dan semangat keBruneian, dan bawalah ke mana saja budaya MIB, cara hidup dan cara berfikir MIB, bukan yang lain-lain.’

    Penekanan itu dibuat oleh Pemangku Pengarah Penerangan, Jabatan Penerangan, Jabatan Perdana Menteri, Awang Mawardi bin Haji Mohammad ketika berucap di Program Perkampungan Sivik Lepasan Ijazah Negara Brunei Darussalam Kali Pertama 2017 yang berlangsung di Dewan Auditorium, Bangunan Tambahan Ibu Pejabat Jabatan Penerangan, hari ini.

    Di samping itu, beliau menyeru para belia yang menyertai program berkenaan sebagai individu berijazah yang mempunyai pemikiran dan sikap ingin terus maju, mereka adalah di antara yang paling beruntung kerana dapat memperkayakan diri dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman.

    “Maka rebutlah peluang seberapa banyak dan timbalah ilmu yang sebanyak mungkin di sepanjang program ini. Ilmu itu tidak statik. Bangsa yang berilmu akan terkemuka dalam pembangunan, ekonomi dan persaingan dalam apa jua bidang.”

    Awang Mawardi menyampaikan kata alu-aluannya di majlis berkenaan.
    Awang Mawardi menyampaikan kata alu-aluannya di majlis berkenaan.
    Antara peserta bersama ibu bapa mereka semasa majlis diadakan.
    Antara peserta bersama ibu bapa mereka semasa majlis diadakan.

    Mengulas mengenai Program Perkampungan Sivik berkenaan, Awang Mawardi menyatakan bahawa ia merupakan salah satu projek yang dilaksanakan melalui strategi kerja Jabatan Penerangan iaitu Komunikasi Bersemuka, selaras dengan visi jabatan sebagai satu agensi peneraju kerajaan dalam menyampaikan dan memberigakan maklumat rasmi kerajaan.

    “Antaranya ialah mengenai dasar dan maksud kerajaan agar rakyat dan penduduk memahami, menyokong dan menghayatinya secara berkesan dan seterusnya, menghubungkan rakyat dan penduduk dengan kerajaan, ke arah ‘Membudayakan Masyarakat Bermaklumat’.”

    Selain daripada itu, jelasnya lanjut, program berkenaan juga menjadi salah satu platform ke arah melengkapkan para peserta untuk mampu berdaya saing, mampu berdepan segala cabaran serta mampu merebut peluang-peluang kerajaan.

    Bagi memastikan keberkesanan program berkenaan, Awang Mawardi berkata, dari semasa ke semasa, formatnya telah dipertingkatkan lagi dengan memasukkan pendekatan yang berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya.

    Para peserta program berpeluang untuk mengikuti pelbagai bentuk sesi perkampungan termasuk taklimat dan sesi dialog, sesi percambahan fikiran secara berkumpulan, aktiviti kerja berpasukan, aktiviti bersukan atau riadah, aktiviti keagamaan, lawatan dan aktiviti kerja amal.

    Program selama enam hari dan lima malam yang dikendalikan di Dewan Kompleks Sukan Sungai Kebun itu disertai oleh seramai 45 orang peserta iaitu 21 orang peserta lelaki dan 24 orang peserta perempuan lepasan ijazah dari institusi-institusi dalam dan luar negara iaitu Universiti Brunei Darussalam, Universiti Teknologi Brunei, Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan, United Kingdom, Australia, Mesir dan Malaysia.

    Program yang telah dikendalikan sejak 1976 itu bukan sahaja menumpukan kepada lepasan ijazah seberang laut tetapi kini dilanjutkan kepada lepasan ijazah tempatan yang belum bekerja atau yang berminat untuk menjadi pengusaha.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda