Belia Raih pengalaman berharga melalui program YSEALI

Oleh Ak Zaki Kasharan

Empat orang belia tempatan yang telah mengikuti Program Felo Akademik, Inisiatif Pemimpin-pemimpin Muda Asia Tenggara (YSEALI) di Amerika Syarikat (AS) telah berkongsi pengalaman me-reka bersama penulis baru-baru ini.

Semasa sesi perkongsian pengalaman tersebut yang dihadiri oleh kakitangan Kedutaan AS di Brunei Darussalam, peserta berkongsi pengalaman, pembelajaran dan perubahan yang boleh diguna pakai serta diaplikasikan di negara ini.

Pegawai Hal Ehwal Awam Kedutaan AS, Daniel Lee semasa ditemui penulis turut menjelaskan bahawa YSEALI yang merupakan program pertukaran terbesar yang melibatkan sebanyak 16 orang peserta dari negara Brunei Darussalam setiap tahun sekali gus memberi peluang kepada belia di negara ini untuk pergi ke AS bagi melakukan penyelidikan dan kajian tentang subjek yang mereka gemari.

Melalui program ini, belia negara juga berpeluang untuk melebarkan lagi jaringan hubungan bersama peserta lainnya yang datang dari pelbagai latar belakang dan negara dari seluruh negara Asia Tenggara lainnya.

Para peserta yang terpilih mengikuti Program Felo Akademik YSEALI terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi institut pengajian tinggi dan yang baharu menamatkan pengajian, berusia 18 hingga 35 tahun.

Peserta YSEALI dan Pegawai Hal Ehwal Awam Kedutaan AS ketika ditemui penulis baru-baru ini.
Gambar fail 9 Mei 2019, menunjukkan beberapa belia tempatan yang pernah mengikuti program YSEALI di Amerika Syarikat.

Pada tahun ini, Awang Mohammad Al-Amin Afiq bin Abarahan, Dayang Hana Abadiah binti Haji Awang, Awang Wan Afifi bin Wan Ali dan Dayang Nurul Husna Aqilah binti Haji Abidin telah dipilih bagi menyertai program berkenaan.

Memperoleh banyak pengalaman

Menerusi program yang diadakan selama seminggu itu, mereka berpeluang mengunjungi beberapa buah negeri di AS termasuk mengunjungi kolej atau universiti terkemuka di mana program merangkumi penempatan akademik di kampus, pembangunan kepimpinan, interaksi bersama rakan-rakan sebaya, lawatan pendidikan dan aktiviti khidmat masyarakat.

Dayang Nurul Husna Aqilah yang merupakan seorang belia yang bergiat aktif dalam kesukarelawanan seperti menyertai Projek Bina Ukhwah dan segala yang dikelolakan oleh JAPEM telah menjalani penempatan di Omaha, AS bermula 7 September 2019 sehingga 11 Oktober 2019 yang lalu menceritakan bahawa dalam program tersebut beliau berserta peserta lainnya banyak dibawa melawat ke pelbagai tempat yang sememangnya membuka minda dan fikirannya dengan lebih luas dan jauh berbanding sebelumnya. Antara tempat yang dikunjunginya adalah seperti rumah atau kediaman di mana para gelandangan, wanita dan kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

Masyarakat di Omaha, AS banyak persamaan dengan masyarakat di sini disebabkan penduduk di situ yang ramah dan baik tambahan lagi dengan kehijauan alam semula jadi di situ membuatkan dirinya terasa seperti berada di negara sendiri.

Bagi graduan Universiti Brunei Darussalam yang sebelum ini banyak terlibat dalam pelbagai organisasi tempatan seperti Global Sharpers BSB, Brunei Adventure Recreation Association dan Brunei Parkour, Wan Afifi menyatakan bahawa penglibatannya dalam program YSEALI dalam Entrepreneurship and Economic Development baru-baru ini memberitahu bahawa di sana beliau banyak berjumpa dengan orang yang terlibat dengan keusahawanan dan diajar mengenai perkara yang berkaitan dengan bidang keusahawanan. Melalui program tersebut beliau dapat melihat banyak potensi bagi mendirikan NGO di negara ini untuk dijadikan atau digabungkan menjadi social enterprise.

Aktiviti kesukarelawan

Sementara itu, bagi Hana Abadiah ketika berkongsi pengalamannya menyertai YSEALI di University of Montana pada 21 Ogos hingga 25 September 2019 menceritakan bahawa semasa di sana beliau berserta peserta lainnya berpeluang melibatkan diri dalam acara kesukarelawanan di sana di mana mereka terlibat dalam inisiatif pembaziran sifar yang diperkenalkan oleh pihak kerajaan di sana.

Dalam sebuah pesta yang dianjurkan di sana, mereka bertindak bagi membantu mengasing-asingkan sisa pembuangan pada acara tersebut. Selain itu mereka juga terlibat dalam food bank yang mana baginya sungguh menarik kerana dapat menyalurkan dan mengagihkan makanan kepada mereka yang benar-benar memerlukan

Awang Mohammad Al-Amin Afiq Safwat pula menambah, semasa dia mengikuti program berkenaan di East-West Center, Hawaii, beliau menyedari dan mensyukuri atas segala kemudahan yang dinikmatinya selama ini di negara ini setelah berkongsi bersama peserta lain yang berasal dari negara Asia Tenggara lainnya yang banyak mengalami pelbagai masalah seperti Polusi Air dan sebagainya yang mana tidak dialami di negara ini.

Beliau juga berharap agar ‘Food Bank’ dapat diaplikasikan dan dijalankan di negara ini kerana ia dapat mengurangkan kadar pembaziran dan pada masa yang sama membantu golongan yang memerlukan.

Setakat ini seramai 169 orang alumni program YSEALI dari Negara Brunei Darussalam telah menyertai program berkenaan yang diadakan antara lain bagi melahirkan kebolehan kepimpinan dalam kalangan belia di rantau ini selain mengeratkan lagi jalinan perhubungan antara Amerika Syarikat dan negara-negara di Asia Tenggara.