Belia Sarawak digalak sertai tentera

SERIAN, 12 OGOS – Lebih ramai anak muda Sarawak digalakkan memilih kerjaya sebagai anggota tentera.

Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Wira Zamrose Mohd Zain berkata usaha sedang dilakukan bagi mempromosikan pemilihan kerjaya terbabit kepada anak muda tempatan di negeri ini.

“Duit (gaji) tidak banyak, tetapi sekurangnya kerja yang kita (pasukan tentera) buat itu demi negara dan agama,” katanya ketika menghadiri Majlis Ibadah Korban Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha Markas Pemerintah Medan Timur Tentera Darat Bersama Penduduk Kampung Darul Islam Belimbing, Padawan, di sini, hari ini. Sehubungan itu, Zamrose berkata beliau merancang menjemput penduduk Kampung Darul Islam Belimbing untuk menghadiri acara perbarisan dan acara lain pasukan itu supaya ia dapat mempromosikan kerjaya berkenaan kepada anak mereka.

“Datang atau tidak datang (penduduk kampung ke acara terbabit) itu saya serahkan kepada jawatankuasa kampung,” katanya yang mengakui penduduk kampung itu mempunyai hubungan yang baik dengan pasukan tentera darat.

Sementara itu, majlis menyaksikan penyembelihan seekor lembu sumbangan pasukan tentera darat kepada penduduk kampung berkenaan.

Turut hadir Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Md Din Abu, Ketua Staf Am, Brig Jen Datuk Kamarol Fauzi Mohd Said dan Ketua Kaum Kampung Darul Islam Belimbing, Hussein Banyak. – Bernama