Belia Siaga Masa Depan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 JULAI – Khatib menyeru para belia untuk sentiasa menghargai dan menggunakan usia dan masa muda sebaik-baiknya kerana ia adalah masa yang terbaik untuk membina jati diri dan menghiasi peribadi dengan akhlak yang mulia.

Waktu keemasan itu juga mesti dimanfaatkan sepenuhnya dan tidak membiarkan ia berlalu dengan sia-sia dan yang paling utama adalah memantapkan diri dengan iman dan takwa di samping belajar dan mencapai atau menguasai ilmu pengetahuan dan seterusnya kemahiran, katanya semasa menyampaikan khutbah Jumaat yang bertajuk ‘Belia Siaga Masa Depan’.

Khatib seterusnya menekankan bahawa belia yang memiliki keimanan dan ketakwaan serta jati diri yang teguh, mantap dan berilmu tidak akan mudah dipengaruhi dengan anasir negatif dan gejala yang boleh merosakkan jiwa, minda, akidah dan akhlak.

Sehubungan itu, tegasnya, belia hendaklah menghindari diri daripada terlibat dengan kegiatan antisosial seperti terlibat dengan penyalahgunaan dadah, pergaulan bebas dan bermacam-macam lagi masalah sosial yang bertentangan dengan nilai agama yang murni dan tatasusila budaya bangsa yang suci.

Ini kerana belia bakal menjadi tunggak negara dalam menentukan hala tuju dan kemajuan masa depan kerana kepentingan generasi belia pada sesebuah negara itu terletak pada peranan belia sebagai pemaju kemajuan pembangunan negara pada masa depan.

Khatib juga mengongsikan beberapa panduan yang boleh diamalkan oleh belia sebagai benteng yang paling ampuh dan kukuh dalam mengharungi kehidupan diri di era globalisasi yang serba mencabar dengan menjaga ibadah sembahyang, berdamping dengan Al-Quran dan pandai memilih kawan.

Sambutan Hari Belia Kebangsaan kali ke-16 akan diadakan pada 1 Ogos 2021 dengan tema Belia Siaga Masa Depan.

Kemampuan belia menuju masa depan amat berkait rapat dengan mempersiapkan belia dengan acuan yang berkualiti dan mampu mendepani pelbagai cabaran yang sukar diramalkan dengan cara yang bijak dan berwibawa.

Khatib seterusnya menambah, belia masa depan adalah belia yang holistik bukan saja cemerlang dalam pendidikan, sahsiah dan kerohanian tapi belia yang berkemahiran, inovatif dan kreatif sejajar dengan kepesatan dan kemajuan pelbagai bidang.

Belia siaga masa depan juga dihasratkan akan menjadi belia bertaraf dunia sebagai ejen perubahan yang siap siaga masa depan bagi pembangunan negara yang menyeluruh berakarumbikan keinklusifan.

Dalam mewujudkan ekosistem pembangunan belia yang dinamik, mapan dan inklusif kepada individu, jelas khatib, adalah dengan melibatkan dalam pembentukan dasar membuat keputusan, mencapai kecemerlangan yang tinggi dalam ilmu pengetahuan dan kemahiran serta mengukuhkan nilai teras keBruneian yang positif.

Menurut khatib, strategi untuk mempersiapkan belia siaga masa depan merupakan tanggungjawab secara bersepadu antara pihak kerajaan swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai agenda utama dalam pembangunan negara.

Mempertajam, meneroka serta menyerlahkan kemahiran dan potensi modal insan belia siaga masa depan menjadi strategi negara yang perlu dilaksanakan bagi melahirkan aset negara yang bertanggungjawab.

“Adalah penting untuk agensi berkepentingan memperkasa dan mempersiaga belia, membangun kapasiti dan melibatkan sama belia,” jelasnya.