Belia sumbangkan bakti bantu tangani COVID-19

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI EBGAWAN, 24 MAC – Berikutan penularan wabak COVID-19 di negara ini, sukarelawan belia Brunei tampil bersatu berganding bahu menyumbangkan bakti kepada rakyat dan negara dengan memberikan sokongan kepada Kementerian Kesihatan apabila diperlukan.

Sukarelawan belia yang ditubuhkan bagi Operasi Suka-relawan COVID-19 di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) itu beroperasi selama 24 jam dan berpusat di Dewan Darul Imtiyaz Pusat Bahagia, Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), Pulaie.

Ketua pusat berkenaan, Hajah Noor Monasalieana @ Suzie binti Haji Mohd ketika ditemui semasa tinjauan media, kelmarin, menjelaskan bahawa pusat berkenaan telah beroperasi seminggu yang lalu dan beroperasi selama 24 jam sejak empat hari yang lalu.

“Kami menyedari bahawa ini adalah masa untuk belia menjadi sukarelawan kerana mereka perlu menyedari bahawa ini situasi ini bukan satu lakonan, bukan latihan tapi ia adalah situasi sebenar di mana mereka kini dapat menyumbang dan menunjukkan cinta kepada negara semasa krisis ini,” tambahnya.

Dalam usaha untuk mengelakkan penyebaran COVID-19, jelasnya, pendaftaran boleh dibuat melalui aplikasi dalam talian (e-Form) melalui kod imbasan QR yang disediakan di poster.

Para pelatih PKBN turut menyumbangkan bakti semasa pandemik COVID-19. – Gambar oleh Muiz Matdani
Para sukarelawan yang bertugas di Pusat Operasi Sukarelawan COVID-19.

“Kami mahu mengelakkan perhubungan rapat, perhimpunan besar dan memberi penekanan kepada penerapan penyebaran sosial sehingga kami memperkenalkan pendaftaran dalam talian bagi mereka yang ingin menjadi sukarelawan,” ujarnya.

Sebahagian besar sukarelawan tidak berpengalaman dengan keadaan kecemasan tapi, tambah beliau, mereka akan cuba memberi bantuan mengikut keupayaan atau kepakaran yang dimiliki oleh belia yang menjadi sukarelawan.

Beliau seterusnya menjelaskan, sukarelawan juga boleh dianggap sebagai frontliners kerana mereka ‘berisiko’ apabila perlu menghadapi pelbagai orang semasa pandemik ini di mana mereka tidak dilengkapi dengan peralatan perlindungan peribadi (PPE) tapi mereka cuba menyediakan penutup mulut, sarung tangan dan sanitizer.

Terdapat dua kumpulan sukarelawan dalam operasi sukarelawan berkenaan iaitu berisiko tinggi dan berisiko rendah, di mana sukarelawan dalam kumpulan berisiko tinggi mempunyai latar belakang perubatan dan lebih cenderung untuk memberi bantuan di bahagian hospital, lapangan terbang, pusat pengasingan dan lainnya.

Sementara itu, sukarelawan berisiko rendah diberikan tugas untuk menghantar barang, logistik dan lain-lain tetapi mereka tidak akan mengarahkan sukarelawan untuk terlibat dalam kumpulan persekitaran yang berisiko tinggi.

Beliau seterusnya berharap, dengan adanya pusat berkenaan, sukarelawan belia akan cuba menyediakan apa yang diperlukan untuk meringankan beban kakitangan Kemente-rian Kesihatan, kakitangan perubatan, jururawat dan frontliner lain yang sibuk merawat pesakit dan mengawal virus.

“Para sukarelawan kami juga akan diberi taklimat dalam kumpulan kecil sebelum mereka dikerahkan dan kami mengambil serius dengan mematuhi garis panduan dan sekatan dari Kementerian Kesihatan,” katanya.

Lebih 400 orang sukarelawan telah berdaftar di bawah Belia Sukarelawan termasuk pelatih Program Khidmat Bakti Negara (PKBN).