Thursday, April 25, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Belia tonggak pembangunan masa depan negara

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    Maju atau mundurnya sesebuah negara itu adalah bergantung kepada keupayaan, kesanggupan, kebolehan dan ketekunan para belia dalam mencapai pembangunan negara lebih-lebih lagi dalam menjayakan Wawasan Brunei 2035.

    Di Negara Brunei Darussalam, kita menyaksikan pelbagai kejayaan besar yang dicapai oleh para belia dengan menyumbangkan usaha gigih dan bersepadu dalam pembangunan negara daripada pelbagai bidang sehingga mampu mengadaptasi cabaran teknologi digital di era ledakan maklumat seperti perekonomian digital.

    Dengan kerjasama yang bersepadu, golongan belia Brunei terus mencapai kejayaan bukan hanya di dalam negara tetapi juga di arena antarabangsa.

    Ketika Negara Brunei Darussalam berdepan dengan gelombang penularan wabak COVID-19, ribuan belia negara bangkit berganding bahu dan tampil ke hadapan sebagai sukarelawan, memberikan sokongan dan menyumbang tenaga kepada Kementerian Kesihatan apabila diperlukan dalam menangani wabak.

    Tidak dapat disangkalkan lagi kekuatan sesebuah bangsa dan negara bukan hanya bergantung kepada harta benda semata-mata, namun ia juga bergantung kepada tenaga manusia termasuklah golongan belia.

    Sukarelawan memasukkan bantuan makanan ke dalam van untuk dihantar ke rumah-rumah individu yang menjalani perintah kuarantin.
    Antara sukarelawan belia yang terlibat semasa Inisiatif Sumbangan Pandu Lalu di Stadium Negara Hassanal Bolkiah pada tahun lepas.
    Ketika Negara Brunei Darussalam berdepan dengan gelombang penularan wabak COVID-19, ribuan belia negara bangkit berganding bahu dan tampil ke hadapan sebagai sukarelawan. – Gambar fail

    Para sukarelawan belia di negara ini turut ditempatkan di pusat-pusat agihan catuan makanan bagi menghantar bantuan kepada individu atau keluarga yang menjalani perintah kuarantin di seluruh negara.

    Selain itu, pelbagai inisiatif turut dilakukan oleh para belia dalam sama-sama membantu pihak kerajaan menangani impak COVID-19 yang antaranya seperti mengadakan inisiatif sumbangan pandu lalu di Stadium Negara Hassanal Bolkiah yang telah berjaya mengumpulkan sumbangan barangan asasi daripada orang ramai dan telah dihulurkan kepada individu yang terjejas di keempat-empat daerah.

    Sejak Sukarelawan Belia ditubuhkan bagi Operasi Sukarelawan COVID-19 di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) pada Mac 2020, jumlah sukarelawan belia kian bertambah hari demi hari. Bidang kesukarelawanan memerlukan kekuatan dan ketulusan hati, jika hati kuat dan tulus, sejauh mana pun cabaran ketika berbakti pasti mampu menghadapinya, apa tah lagi ketika negara diancam wabak yang memerlukan perpaduan tenaga dalam sama-sama menabur bakti.

    Dengan adanya aktiviti sebegini akan dapat menyatupadukan masyarakat amnya dan komuniti dan pergerakan-pergerakan bagi menggerakkan dan menjalankan kegiatan yang bermanfaat untuk membantu masyarakat yang memerlukan bantuan.

    Di samping menjaga keharmonian masyarakat, meningkatkan jati diri belia, daya kepimpinan, aktiviti kesukarelawanan ini turut melatih belia-belia untuk berkomunikasi dengan lebih dekat bersama masyarakat.

    Walau bagaimanapun perlu diingat, dewasa ini, memang tidak dapat dinafikan belia mudah terdedah kepada cabaran-cabaran sosial seperti penyalahgunaan media baharu, dadah, pergaulan bebas dan sebagainya.

    Oleh itu, semua pihak sama ada ibubapa, keluarga dan masyarakat adalah berperanan penting untuk membimbing dan memimpin golongan belia agar mereka menjadi golongan yang berakhlak mulia dan taat beragama.

    Agama Islam turut memandang akan kepentingan belia dalam pembangunan umat seperti mana yang banyak termaktub di dalam Al-Quran yang menceritakan kisah para belia misalnya pada perjuangan para nabi dan rasul yang kesemuanya adalah orang-orang terpilih daripada kalangan pemuda dan belia. 

    Sememangnya belia adalah aset yang sungguh berharga serta merupakan tonggak kekuatan masa depan bagi sesebuah negara.

    Oleh yang demikian, golongan belia ini perlu diasuh, dididik dan diberikan bimbingan yang sempurna sehingga mereka menjadi generasi yang beriman, berilmu, beramal dan bertaqwa serta mempunyai akhlak yang mulia lagi terpuji.

    Justeru, dengan bimbingan ajaran Islam, ia akan mengukuhkan jati diri belia ke arah menjadikan mereka sebagai seorang belia yang bertanggungjawab kepada agama, bangsa dan negara kerana belia yang dididik dan dibimbing dengan nilai-nilai Islam sudah semestinya tidak akan mudah goyah ataupun terikut-ikut, apa tah lagi melakukan perkara mungkar dan maksiat. 

    Mengukuhkan jati diri para belia adalah penting bagi menjamin kemakmuran dan kemajuan negara kerana kita memerlukan golongan pelapis iaitu golongan belia kerana merekalah yang bakal mengganti bagi meneruskan usaha dalam  membangun umat dan negara di masa hadapan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Korea Utara hantar delegasi ke Iran

    PYONGYANG, 24 APRIL - Delegasi ekonomi Korea Utara peringkat tinggi sedang dalam perjalanan ke Iran, kata media negara Korea Utara pada hari ini, untuk...