Belia tuai hasil padi Sembada

Oleh Sim Y.H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 JULAI – Empat orang pengusaha belia berpadi telah melaksanakan aktiviti mengatam padi di Tapak Projek Belia Berpadi, Kawasan Kemajuan Pertanian (KKP) Wasan, hari ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pusat Pembangunan Belia (PPB), padi varieti Sembada 188 yang ditanam merupakan salah satu varieti padi yang berpotensi dan dipercayai mempunyai hasil purata lima hingga enam tan metrik sehektar dalam satu musim berbanding varieti lain sebelum ini.

Penanaman padi berkenaan telah mula dilaksanakan pada 5 April lalu dan merupakan hasil tuaian pertama sejak projek berkenaan mula dilaksanakan oleh para pengusaha belia di ladang KKP Wasan. Keempat-empat belia berkenaan merupakan lepasan belia yang sebelum ini pernah mengikuti Kursus Belia Berpadi yang telah dilaksanakan pada 2015 oleh PPB, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) dengan kerjasama Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP).

Para belia berkenaan sebelum ini juga pernah mengikuti Sekolah Perladangan Padi (RFFS) dan setelah menamatkan kursus dan sejurus menamatkan kursus, mereka pada ketika itu telah dianugerahkan 1 hektar ladang padi di ladang padi Lot 2G Kampung Bebuloh untuk diusahakan.

Berdasarkan keaktifan dan komitmen yang telah mereka tunjukkan dalam musim penanaman padi sebelum ini, mereka telah disokong dan dianugerahkan untuk mengusahakan ladang padi KKP Wasan berkeluasan 8 hektar dan diusahakan secara berkumpulan oleh empat orang belia pengusaha belia berpadi.

Gembira…Empat belia pengusaha padi varieti Sembada menuai hasil di ladang padi KKP Wasan hari ini.

Mereka terdiri daripada Pengusaha Perusahaan Haji Masnawi, Haji Masnawi bin Haji Mohammad selaku ketua ladang; Pengusaha Syarikat Al-Rasyid, Awang Muhammad Abdul Rasyid bin Kamarudjaman; Pengusaha Hyren Agrotex Global Success Enterprise, Awang Hairinshah bin Haji Tahirudin dan Pengusaha U-Nos K Enterprise, Awang Muhamad Yunos bin Kepli.

Kenyataan menyatakan bahawa kerja-kerja pembersihan ladang yang berkeluasan lapan hektar berkenaan telah mula dilaksanakan pada 10 Februari lalu, yang mana kerja-kerja pembersihan tersebut turut dibantu dan dilaksanakan secara percuma oleh Syarikat SWEE Sdn. Bhd.

Keempat-empat pengusaha belia berpadi berkenaan sebelum ini juga telah terpilih bagi mendapatkan Skim Pembiayaan Permulaan Anugerah Perniagaan LiveWIRE (BASfs) dan menerima pinjaman kewangan khusus untuk syarikat start-up yang diberikan oleh LiveWIRE Brunei.

Manakala itu, pihak Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) akan memantau dan memberikan sokongan sepenuhnya kepada para belia berkenaan daripada aspek bantuan konsultasi kewangan dan pemantauan kemajuan perniagaan mereka yang mana pelan pembayaran balik yang diberikan adalah lebih fleksibel dan mampu dibayar oleh para penerima BASfs dalam tempoh tiga tahun.

Pihak kerajaan melalui, PPB, KKBS dan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan, KSSUP dalam pada itu juga akan sentiasa membukakan peluang kepada para belia yang berminat sama ada dalam sektor penanaman sayur, buah-buahan, padi dan ternakan melalui pelbagai program dan kursus yang telah diaturkan oleh agensi-agensi seperti PPB dan Jabatan Pertanian dan Agrimakanan.