Wednesday, April 24, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Belia Uganda intai peluang kerjaya melalui pembelajaran Bahasa Cina

    KAMPALA – Ketika dunia memperingati Hari Bahasa Cina Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tahunan baru-baru ini, belia Uganda sedia untuk mempelajari Bahasa Cina.

    Mereka melihat bahasa yang digunakan dalam ekonomi kedua terbesar sebagai alat yang membolehkan mereka mengakses masa depan yang lebih luas.

    Di bawah naungan di Institut Confucius di Universiti Makerere, pelajar berkumpul dalam kumpulan kecil untuk berlatih bahasa Cina. Mereka berkongsi sasaran yang jelas, untuk memanfaatkan peluang daripada pengaruh ekonomi China yang semakin meningkat di pentas global.

    Vianney Nsubuga, pelajar baharu yang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda dalam pengajian Cina dan Asia, memberitahu Xinhua bahawa interaksi berterusan Afrika dengan China telah membawa banyak peluang pekerjaan, seperti pekerjaan dalam sektor pengangkutan dan infrastruktur tenaga.

    China telah membiayai projek infrastruktur tenaga dan pengangkutan utama di Uganda sebagai sebahagian daripada Inisiatif Jalur dan Jalan yang dicadangkan oleh China, termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Entebbe di Kampala, Lebuhraya Kampala-Entebbe, Loji Tenaga Hidro Isimba 183 MW dan Loji Tenaga Hidro Karuma 600 MW yang masih dalam pembinaan.

    Pengajar (kiri) mengajar kelas bahasa Cina di Institut Confucius di Universiti Makerere di Kampala, Uganda. – Xinhua

    “Dengan mempelajari Bahasa Cina dan menguasai bahasa itu, ia akan membantu saya dalam kehidupan,” kata Nsubuga, yang berharap bekerja sebagai jurubahasa, penterjemah atau guru bahasa Cina selepas tamat pengajian.

    “Dengan mengetahuinya (Bahasa Cina) atau mengajarnya kepada orang muda, awda membuat hubungan dengan dunia,” tambah pelajar baharu itu. Jedrine Nasuna, pelajar tahun kedua yang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda dalam pengajian Cina dan Asia, berkata dia telah memutuskan untuk belajar Bahasa Cina selepas ibunya memberitahunya tentang peranan China yang semakin meningkat dalam hal ehwal global dan hubungannya dengan negaranya.

    “Saya ingin belajar komunikasi massa tetapi ibu saya menasihati saya untuk belajar Bahasa Cina,” katanya. “China bekerjasama dengan Uganda membina jalan raya, loji kuasa. Kebanyakan perkara yang berlaku di Uganda, orang Cina turut terlibat sama.”

    Kerjasama itu mempunyai manfaat bersama, katanya, kerana beberapa syarikat China yang telah menubuhkan perniagaan di Uganda atau di bahagian lain di Afrika juga meminta pekerja mereka mempelajari budaya tempatan untuk memastikan operasi perniagaan lancar.

    Memandangkan China dan dunia telah berhubung satu sama lain, mempelajari bahasa dan budaya yang berbeza memainkan peranan penting dalam mengukuhkan hubungan dengan orang lain, kata Wang Xiaojuan, seorang pengajar Bahasa Cina di Institut Confucius.

    Sesetengah pelajar mungkin bekerja sebagai diplomat di China pada masa hadapan, manakala orang China yang mempelajari bahasa tempatan di Uganda juga akan mengukuhkan persahabatan mereka dengan penduduk tempatan, kata Wang. – Xinhua

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Dua gempa berukuran 6 dan 6.3 magnitud landa timur Taiwan

    TAIPEI, 23 APRIL - Dua gempa bumi berukuran 6 dan 6.3 magnitud melanda tengah Daerah Hualien di timur Taiwan masing-masing pada 2:26 pagi dan 2:32 pagi ini,...