KUALA LUMPUR, 15 OGOS – Pengeluar helikopter komersial dan tentera yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Bell Textron Asia Pte Ltd melihat potensi yang besar untuk helikopter Bell 505 di Asia Tenggara.
Pengurus Jualan Serantau Bell, Benjamin Ji berkata pengeluar helikopter komersial dan tentera yang berpangkalan di AS itu telah mencatatkan pertumbuhan dalam pasaran ASEAN, terutamanya sejak dua tahun lepas.
“Semasa sekatan pergerakan berikutan pandemik COVID-19, apabila kami fikir keadaan akan menjadi lembap terutamanya dalam segmen pemilik persendirian, kami menyaksikan permintaan yang meningkat.
“Orang ramai mula memilih untuk melakukan perjalanan dalam suasana yang lebih bersifat peribadi dan kami telah menyaksikannya di rantau ini, (negara-negara seperti) Filipina, Indonesia, Malaysia, Australia dan New Zealand (permintaan) semuanya meningkat,” katanya kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.
Ji berkata syarikat turut menyaksikan minat yang tinggi terhadap pesawat tersebut berikutan pertanyaan yang meningkat untuk Bell 505, terutamanya di Malaysia.
Bell 505 yang pertama telah diserahkan pada 2017, dan hari ini, terdapat 400 pesawat beroperasi di enam benua. Bell 505 merupakan antara produk syarikat yang berkembang pesat untuk pasaran individu korporat dan swasta.
Ji berkata potensi untuk Bell 505 adalah besar berikutan ia berfungsi dengan baik dalam dua segmen, iaitu individu korporat dan swasta serta agensi kerajaan dan tentera.
“Pesawat ini berfungsi dengan baik untuk latihan ketenteraan. Baru-baru ini, tentera Korea Selatan telah memesan 40 daripada Bell 505 kami untuk latihan mereka dan begitu juga, Pengawal Pantai Jepun telah menggunakan platform Bell 505,” katanya.
Berbanding rantau Barat untuk pesawat Bell 505, Ji berkata rantau Barat adalah pasaran yang lebih matang untuk helikopter manakala rantau Asia Tenggara berbeza dari segi cara berikutan negara-negara tersebut ditadbir oleh pihak berkuasa penerbangan tertentu di negara masing-masing.
“Ia tidak begitu mudah untuk diterima pakai di rantau ini berikutan setiap negara mempunyai pematuhannya sendiri dan itu merupakan sedikit hala-ngan yang kami cuba permudahkan pada setiap masa untuk pelanggan kami. Bagaimanapun, Bell 505 telah mendapat pengesahan di seluruh Asia Tenggara.
“Di rantau ini, segmen pelanggan persendirian semakin meningkat. Saya berpendapat ia merupakan satu kesedaran dan orang ramai mula memikirkan cara yang lebih baik untuk melakukan perjalanan dan Asia Tenggara mempunyai begitu banyak pulau,” katanya. – Bernama