KUALA LUMPUR, 21 SEPT – Seorang pakar psikiatri memberitahu Mahkamah Sesyen hari ini bahawa Bella membuat isyarat kedua-dua tangannya diikat dan menggosokkan mata sambil menyebut ‘cili’ semasa remaja perempuan sindrom Down itu ditemu bual tahun lepas.
Dr Wan Asyikin Wan Azlan, 37, yang sebelum ini berkhidmat di Hospital Tunku Azizah, berkata Bella membuat isyarat itu secara sukarela ketika beliau bersama dua lagi individu menemu bual remaja tersebut di sebuah bilik di hospital berkenaan pada 30 Sept 2021.
“Ketika itu saya bertanya kepada Bella sama ada dia membuat air panas atau sejuk dan remaja itu terus membuat isyarat tangannya diikat dan menyebut ‘panas.’
“Bella juga menunjukkan matanya dan menyebut ‘cili’ tanpa ditanya,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad pada perbicaraan kes Pengasas Rumah Bonda Siti Bainun Ahd Razali di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.
Ditanya Azizah bagaimana Bella boleh menyebut ‘panas,’ Dr Wan Asyikin yang kini bertugas sebagai pakar psikiatri di Hospital Selayang menjawab ‘seingat saya, Bella boleh sebut panas.
“Semasa saya bertanya kepada Bella siapa yang membuatnya dan Bella menyebut ‘Benun’ (Siti Bainun). Saya ada bertanya soalan kepada Bella sama ada dia mahu berjumpa dengan Bainun (Siti Bainun) dan balik ke Rumah Bonda namun Bella menggelengkan kepalanya,” kata saksi pendakwaan ke-17 itu. – Bernama
