HUE, Vietnam – Belon udara panas yang berwarna-warni telah memukau para pelawat yang mengunjungi bandar raya purba Vietnam, Hue, baru-baru ini bagi penganjuran festival yang akan dapat memacu minat penggemarnya serta meningkatkan jumlah pelancong ke sana.
Beberapa belon – termasuklah ada yang berbentuk seperti sotong dan juga hati – telah menyerikan suasana langit di bandar bekas kubu batu kota itu, yang pernah menjadi tempat maharaja-maharaja Vietnam.
Ia bukanlah satu perjalanan bagi yang lemah semangat.
“Apabila belon itu mula naik, saya mula tidak tentu rasa dan saya dapat melihat suasana pemandangan Hue,” kata salah seorang pelancong, Ha Anh Ngoc kepada AFP.
Hue adalah salah satu destinasi pelancongan paling popular di Vietnam, yang telah menarik kira-kira 4.3 juta pelawat pada tahun lepas.
Kebanyakan pengunjung datang ke sana berjalan kaki atau menaiki lanca untuk melihat pagoda-pagoda purba, makam-makam lama dan juga kubu kota bandar raya itu, yang masih menanggung kerosakan akibat daripada pertempuran sengit semasa Perang Vietnam.
Peminat belon-belon tersebut berharap akan dapat mengubahnya.
“Saya sangat berharap belon udara panas ini akan lebih popular dan lebih dekat kepada masyarakat Vietnam,” kata Vo Ngoc Ha, salah seorang penganjur perayaan tahunan kali ketiga itu.
Dengan harga AS$280 bagi pengembaraan selama 40 minit di udara, belon udara panas adalah jauh dari jangkauan kemampuan kebanyakan penduduk mahupun pengunjung di sana.
Sebahagian pengunjung pada festival itu lebih memilih kepada tunggangan lain yang berharga kira-kira AS$6, manakala yang lain ada yang hanya menikmati dan menyaksikannya di daratan sahaja, sambil mengambil gambar swafoto dengan berlatar belakangkan belon udara panas yang melambung tinggi di kawasan bandar raya tersebut.
Juruterbang daripada Belanda, Wout Bakker, yang telah datang ke perayaan tersebut setiap tahun sejak ia mula-mula diadakan pada 2017, berkata bahawa dia telah melihat peningkatan yang ketara terhadap belon udara panas di sana, yang mana mampu terus berkembang pesat.
“Vietnam mempunyai potensi yang baik kerana semakin ramai pelancong dan juga penduduk tempatan telah berkunjung ke sana – mereka mempunyai wang untuk menaiki kapal terbang, jadi jumlah itu semakin bertambah,” katanya. – AFP