‘Belum ada keperluan sekat pelancong’

PUTRAJAYA, 21 FEB – Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata belum ada keperluan untuk menghalang pelancong dari China memasuki negara ini susulan penularan COVID-19, sebaliknya akan memperketatkan saringan kesihatan terhadap mereka yang pulang atau tiba dari negara itu.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan juga tidak berhasrat untuk menyekat kemasukan rakyat Singapura walaupun terdapat kes sporadik serta jangkitan individu kepada individu yang lain di republik itu. Bagaimanapun, katanya, saringan di pintu masuk sempadan di Tambak Johor dan Lapangan Terbang  Antarabangsa Senai akan diperketatkan.

Menurutnya, langkah itu dipersetujui  pada mesyuarat khas Jawatankuasa Tertinggi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) Kluster Penyakit COVID-19 yang dipengerusikan beliau, di sini hari ini. Dr Wan Azizah, yang juga Pengerusi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), berkata Kementerian Kesihatan akan membincangkan kaedah kawalan pemantauan dan kaedah imbasan di sempadan (masuk dan keluar) semasa forum Jawatankuasa Kumpulan Kerja Dua Hala bersama kerajaan Singapura, Selasa ini. – Bernama