Belum ada keputusan – Alaba

BERLIN, 19 JAN – Bapa dan ejen David Alaba hari ini menafikan laporan yang mengatakan pemain pertahanan Bayern Munich itu telah menandatangani kontrak dengan Real Madrid.

Kelmarin, akhbar Sepanyol, Marca mengatakan, pemain pertahanan tengah Austria, Alaba telah menyetujui perjanjian empat tahun dengan gergasi La Liga bermula musim depan dan telah lulus pemeriksaan kesihatan.

“Belum ada keputusan yang diambil dan David belum menandatangani kontrak dengan Real,” kata George Alaba kepada Sport1.

“Ada kelab lain yang juga berminat,” tambahnya.

Alaba, yang telah memenangi Liga Juara-Juara dua kali sejak bergabung dari Austria Vienna pada tahun 2008, telah menolak melanjutkan kontrak di Bavaria dan akan menjadi pemain ejen bebas pada bulan Jun ini. – AFP