Belum ada perjanjian dimeterai, SOP masih sama

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JUN – Negara Brunei Darussalam belum mencapai sebarang persetujuan atau memeterai sebarang perjanjian dengan mana-mana negara bagi kemudahan perjalanan atau gelembung perjalanan (travel bubble) dan jika ada, senario serta prosedur operasi standard (SOP) mungkin berlainan.

Mereka yang ingin masuk semula atau memasuki negara ini masih perlu menjalani ujian swab meskipun mereka sudah pun melakukannya di negara asal atau yang dilawati.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar berkata demikian ketika menjawab soalan tentang ujian swab pada Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

Menurutnya lagi, kecuali Brunei ada membuat perjanjian dengan sesebuah negara, maka senarionya akan berlainan.

“Pada masa ini belum ada perjanjian ataupun persetujuan dengan mana-mana negara. Jadi SOP kita masih sama. Sesiapa sahaja yang masuk ke negara ini akan dikenakan swab juga,” jelas Yang Berhormat Dato.

Manakala bagi mana-mana orang yang ingin keluar negara yang memerlukan sijil, bayaran swab adalah seperti yang diumumkan semalam, iaitu $100 bagi rakyat Brunei dan penduduk tetap manakala bukan rakyat Brunei termasuk kad pengenalan hijau pula $200, termasuklah kanak-kanak kerana ujian swab tersebut tidak mengira umur, tambahnya.

Seorang pegawai kesihatan menguji sampel swab di pusat ujian sementara COVID-19 di sebuah sekolah di New Delhi baru-baru ini. Negara Brunei Darussalam masih mengekal SOP sama bagi orang ramai ingin masuk atau memasuki semula negara ini yang perlu diuji swab sekali lagi, meskipun mereka sudah membuat ujian itu di negara asal atau negara dilawati. – AFP