‘Belum masa untuk bersara’

PORTO, PORTUGAL, 10 JUN – Cristiano Ronaldo menekankan dia masih tiada perancangan untuk bersara daripada saingan bola sepak antarabangsa selepas membantu Portugal menjulang Liga Negara-Negara yang julung kali dianjurkan.

Ronaldo, 34, antara tonggak utama apabila gol Goncalo Guedes membantu kemenangan 1-0 Portugal ke atas Belanda di Porto awal pagi tadi.

Tetapi selepas berehat daripada perlawanan peringkat kumpulan Liga Negara-Negara, Ronaldo memainkan peranan besar dalam memastikan negaranya ke final dengan jaringan hatrik pada pusingan separuh akhir menentang Switzerland pada Rabu lalu.

Dan dengan tuan rumah menyenaraikan pemain muda yang berbakat diketuai pemain Manchester City, Bernardo Silva, yang dipilih sebagai pemain terbaik kejohanan, Ronaldo masih mahu kekal berada dalam pasukan bagi membantu lebih banyak kejayaan Portugal termasuklah mempertahankan gelaran Kejuaraan Eropah tahun depan.

“Portugal pernah memenangi kejohanan utama seperti Euro 2016 dan kini Liga Negara-Negara. Ia kelihatan seperti kerja yang mudah tetapi ia adalah sukar, ia perlukan dedikasi dan kemahuan yang tinggi,” kata Ronaldo.

“Selagi saya mempunyai kekuatan dan motivasi, saya akan terus mewakili Portugal. Apabila saya bersama pasukan kebangsaan, saya rasa seperti di rumah sendiri.”

Kejayaan itu lebih manis buat Ronaldo apabila muncul satu-satunya pemain di dalam pasukan Portugal yang ditundukkan Greece di laman sendiri ketika final Euro 2004.

“Saya berada bersama pasukan kebangsaan selama 16 tahun dan saya rasakan keinginan yang sama seperti ketika saya berumur 18 tahun,” katanya. – AFP