Belum terbuka hati lagi – Pierre

Biarpun tidak pernah diluahkan daripada mulut Pierre Andre bahawa dirinya kecewa dengan dunia seni, namun, naluri keibuan Khatijah Tan kuat menyatakan ada sesuatu yang tersirat dalam diri anak sulungnya itu.

Pelakon Khatijah Tan memberitahu, Pierre menerima banyak tawaran termasuk mengarah drama, filem dan menulis skrip selama ini. Namun, setakat ini, anaknya masih belum terbuka hati untuk kembali aktif.

“Pierre selesa dengan kehidupan bersama isteri dan anak perempuan mereka yang berusia empat tahun.

“Mereka masih menetap di Kuala Lumpur dan Pierre sibuk menguruskan perniagaan atas talian.

“Saya pernah bertanya apakah dia merajuk dengan industri seni. Namun, Pierre menafikannya.

Pierre menerima banyak tawaran namun, setakat ini, dia masih belum terbuka hati untuk kembali aktif. – Agensi

“Pierre cukup misteri… Dia sukakan kehidupan sekarang yang lebih ‘low profile’.

“Tapi saya tahu, dia masih sayangkan bidang perfileman. Setiap kali pulang ke Ipoh, kami akan meluangkan masa menonton filem antarabangsa,” katanya kepada media.

Selain gemar menonton filem, Khatijah berkata, Pierre masih menunjukkan minat dalam bidang pengarahan.

Sesekali Pierre mengarahkan filem pendek untuk saluran YouTube keluarga mereka iaitu Andre Brothers.

Antara filem pendek pernah dihasilkan berjudul Loceng menampilkan mereka sekeluarga temasuk adik, Mikail Andre. Walau bagaimanapun, menurut Khatijah, saluran berkenaan diwujudkan sekadar ‘suka-suka’, bukan mengejar wang.

Pierre, 35, mula meraih populariti selepas muncul dalam filem Gol & Gincu pada 2005. Watak sebagai Reza dalam filem itu melonjakkan namanya dalam dunia perfileman.

Namun, pada tahun 2016, selepas mengarahkan filem Kecoh Primadona Kena Hantu yang turut menampilkan Khatijah, Pierre perlahan-lahan berundur. Pierre juga tidak aktif di laman sosial menyebabkan ramai tertanya-tanya ke mana menghilangnya pelakon dan pengarah berbakat besar itu.

Khatijah pernah mencadangkan Pierre terus mengarah kerana dia bekerja sendiri dan tidak terikat dengan majikan.

“Tetapi Pierre beritahu belum masanya lagi. Saya rasa ada perkara yang membuatkan dia kecewa tapi dia tak mahu luahkan.

“Tapi sebagai seorang ibu, saya dapat merasakan dia kecewa. Dia mengundur diri bukan sebab merajuk dengan sesiapa.

“Dia kecewa kerana tidak berjaya memberi sesuatu kepada industri. Paling dia kecewa melihat nasib rakan-rakan di belakang tabir yang tidak menerima bayaran setimpal.

“Pierre pernah beritahu, dia kasihan dengan mereka kerana kerja di sebalik tabir tampak glamor, tetapi hakikatnya mereka hidup ‘kais pagi makan pagi’.

“Perkara itulah yang membuatkan dia paling sedih,” katanya.

Khatijah mendedahkan dia pernah memberitahu anaknya ‘protes’ senyap yang dibuat tidak akan mengubah apa-apa. Namun, Pierre masih tetap dengan pendiriannya. – Agensi