Ben Amir buru gelaran terbaik

Kejayaan aktor kacak, Ben Amir, 31, mempertahankan trofi Pelakon TV Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) selama dua tahun berturut-turut bagaikan memberi motivasi buatnya menaik taraf popular kepada terbaik.

Misi Ben atau nama sebenarnya, Muhammad Amir Sabaruddin mempertahankan popularitinya sebagai bintang drama berjaya dikecapi apabila sekali lagi menggenggam trofi Pelakon TV Lelaki Popular, ABPBH 34.

Pernah meluahkan hasrat mengekalkan trofi berkenaan, nyata ‘masin mulut’ pelakon yang mencipta fenomena menerusi drama Chandelier, tahun lalu itu mengungguli kemenangan.

Walaupun berdepan saingan sengit daripada pencabar lain iaitu Nazim Othman, Shukri Yahya, Hun Haqeem dan Adam Lee, namun, rezeki tetap menyebelahi Ben.

Ben berkata, kejayaan itu juga menyuntik semangat untuk mengejar gelaran terbaik pula.
“Mungkin ada melihat kejayaan saya sebagai sesuatu yang digeruni, lebih lagi, saya berjaya mengekalkan kemenangan untuk dua tahun berturut-turut.

Ben berkongsi, kejayaan dikecapinya tidak semudah disangkakan, malah, bekerja keras membentuk imej dan penampilan hari ini. – Agensi

“Namun, hakikatnya, saya tidak mahu digeruni, sebaliknya ingin terus kekal relevan dalam industri seni. Saya juga tidak mahu meraih populariti segera, kemudiannya hilang tanpa berita.

“Selepas dua kali menggenggam trofi ABPBH untuk kategori drama, sasaran saya seterusnya memenangi trofi Aktor Terbaik, Festival Filem Malaysia pada tahun hadapan.

“Saya ada menerima beberapa tawaran filem, namun, tidak boleh dilakukan disebabkan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP),” katanya.

Meskipun mempunyai banyak drama popular dan ada antaranya menjadi sohor kini dalam media sosial, namun, ada juga suara nakal yang mendakwa kemenangan aktor tinggi lampai ini disebabkan mempunyai pakej lengkap.

Menjawab tanggapan nakal itu, anak kelahiran Kuala Lumpur ini berkata, kejayaan dikecapinya tidak semudah yang disangkakan.

Ini kerana dirinya bekerja keras termasuk membentuk imej dan penampilan seperti hari ini.

“Untuk menjadi Ben Amir seperti yang dilihat hari ini bukan terjadi dalam sekelip mata, tetapi kena ada peningkatan. Saya mengambil masa lapan tahun dalam industri seni untuk mendapat pengiktirafan ini.

“Untuk mantapkan kerjaya atau mendapatkan imej menarik, saya juga kena kerja keras.

Bagi saya, kemenangan ini banyak dibantu oleh kelab peminat, Ben Amir Official FC. Diakui persaingan cukup sengit kerana ada pelakon senior seperti Nazim dan Shukri.

“Mereka tewas bukan kerana tidak bagus, tetapi rezeki lebih memihak kepada saya,” ungkap bekas graduan jurusan pengajian perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini. – Agensi