Oleh Saiful Islam
JIKALAU anda ditanya oleh seseorang soalan: “Apakah anda seorang yang beriman?” Apakah jawapan yang boleh anda berikan?
Dengarlah jawapan Hassan Al-Basri ketika ditanya oleh anak-anak muridnya soalan yang sama.
Katanya, “Tanda-tanda orang beriman itu ada dua iaitu: Pertama, kalau kalian menanyakan tentang aku, iman kepada Allah, malaikat, rasul, kitab, kiamat dan qada dan qadar, maka adalah aku termasuk orang yang beriman.
“Kedua, tetapi jika kalian bertanyakan ciri-ciri orang yang beriman sebagaimana yang difirmankan oleh Allah S.W.T dalam surah Al-Anfal, ayat 2 hingga 4, demi Allah…. Aku tidak pasti adakah aku termasuk di dalamnya atau tidak.”
Dalam surah Al-Anfaal ayat dua hingga empat itu bermaksud:
“Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu (yang sempurna imannya) ialah mereka yang apabila disebut nama Allah (dan sifat-sifatNya) gementarlah hati mereka dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya, menjadikan mereka bertambah iman, dan kepada Tuhan, jualah mereka berserah.
“Iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang dan yang mendermakan sebahagian dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka.
“Merekalah orang-orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. Mereka akan mendapat pangkat-pangkat yang tinggi di sisi Tuhan mereka dan keampunan serta limpah kurnia yang mulia (di Syurga).”
Persoalannya di sini ialah, apakah gementar hati kita apabila disebut nama Allah. Apakah apabila dibaca ayat-ayat Al-Quran, bertambahlah keimanan kita.
Selain itu, apakah kita benar-benar bertawakal semata-mata kepada Allah S.W.T dan tidak yang lain daripada Allah S.W.T.
Apakah kita taat mendirikan solat dan khusyuk ketika mengerjakannya.
Dan akhir sekali apakah kita bersedia menafkahkan sebahagian rezeki yang dikurniakan oleh Allah kepada kita dan didermakan untuk menegakkan syiar Islam dan kepada mereka yang memerlukan bantuan? Iman bukanlah sesuatu yang hanya boleh wujud dengan kata-kata atau berangan-angan menganggap diri sudah beriman. Istilah iman yang sebenarnya ialah pertama diucapkan dengan lisan, kedua, membenarkan dengan hati dan ketiganya dilahirkan dalam bentuk amalan dan perbuatan.
Tanpa salah satu dari tiga perkara tersebut, tidaklah lengkap iman seseorang itu dan cacatlah keimanannya.
Dalam memahami maksud “Tawakal,” Ibnu Hatim al’ Asomy membahagikan kepada empat:
Pertama: Tawakal kepada manusia. Beliau memberi contoh bagaimana seorang anak yang menganggap bahawa selagi kedua ibu bapanya masih hidup, selagi itulah hidup tidak akan susah.
Kedua: Tawakal kepada harta. Sebagai contoh, seseorang yang merasakan bahawa selagi ada harta atau wang, selagi itulah hidupnya akan senang.
Ketiga: Tawakal kepada diri sendiri. Iaitu seseorang yang beritikad bahawa selagi dirinya masih kuat, selagi itulah dia masih boleh bekerja untuk mencari nafkah hidup.
Keempat: Tawakal kepada Allah S.W.T yang bermakna menyerah segala-galanya kepada ketentuan qada dan qadar Allah semata-mata.
Bagaimanapun dalam bertawakal kepada Allah ini hendaklah diiringi tiga syarat iaitu: Berusaha, berdoa dan bertawakal.
Sementara itu dalam kaedah mengenali ciri-ciri orang yang beriman seterusnya ialah mereka yang mencintai Allah dan RasulNya lebih dari segala-galanya.
Rasulullah SAW bersabda, “Demi Tuhan yang diriku ada pada kekuasaanNya, tidak sempurna iman salah seorang kalian selagi aku (Allah dan RasulNya) lebih dicintai daripada ayahnya atau keturunannya.” (HR Bukhari)
Jadi kita hendaklah sering bertanya apakah kita dapat menghayati sabda Nabi SAW tersebut dan kita sentiasa berusaha memperbaiki niat dan iktikad kita untuk mencintai Allah dan RasulNya melebihi dari kepentingan diri sendiri.
Dalam perkara ini, hanya kita dan Allah S.W.T sahaja yang mengetahui niat dan keikhlasan hati kita sendiri untuk mencapai martabat orang yang benar-benar beriman.
Dan ciri-ciri orang beriman itu seterusnya ialah, mereka yang mencintai saudara seislamnya sebagaimana mereka mencintai diri mereka sendiri.
Dalam hubungan ini Rasulullah SAW bersabda: “Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggakan ia mencintai saudaranya sama seperti ia mencintai dirinya sendiri.” (HR Bukhari)
Bersama-sama kita memeriksa diri sendiri apakah kita dapat mengamalkan saranan Rasulullah SAW itu dengan mencintai saudara seislam kita bagaimana kita mencintai diri sendiri.
Jangan-jangan usahkan sesama saudara seislam, sesama saudara kandung dan kelompok keluarga sendiripun kita tidak ambil peduli susah senang mereka.
Kita hidup hanya mementingkan diri sendiri. Dalam menghadapi kemelut hidup, kita hanya berusaha untuk melepaskan tengkuk kita, sedangkan saudara mara lain yang lebih susah, kita tidak ambil tahu atau sekurang-kurangnya menziarahi mereka bertanya khabar.
Begitu juga hubungan dengan jiran tetangga, apakah kita tidak mengambil sikap jahiliyah, “Dia tidak ambil tahu hal aku, mengapa aku mesti ambil tahu hal dia.”
Kalau begitulah sikap kita, belum layaklah lagi kita termasuk dalam ciri-ciri orang beriman.
Kerana itu kita hendaklah sedar dan sering bermuhasabah diri masing-masing. Jangan kita dibuai perasaan dan diulit oleh syaitan dengan menganggap diri kita orang beriman, tetapi sebenarnya tidak beriman.
Hendaklah kita ketahui bahawa iman yang ada dalam diri kita sentiasa ada pasang surutnya sebagaimana laut dan pantai.
Pertama: Amal soleh (Iman pasang). Dengan melakukan amalan-amalan yang soleh kita sentiasa dalam keadaan pasang.
Bagaimanapun dalam mengerjakan dan melakukan amal-amal tersebut memerlukan ilmu pengetahuan. Untuk mendapatkan ilmu pengetahuan, ianya perlu dipelajari secara bersungguh-sungguh.
Ilmu tidak akan dapat hanya dengan cakap-cakap dan angan-angan. Ada tiga cara untuk mendapatkan ilmu iaitu : Dengan berguru. Dengan membaca buku-buku agama dan ketiganya dengan bergaul dan berkawan dengan orang-orang alim, para ustaz dan orang-orang solehin.
Itulah cara yang boleh menyelamatkan diri kita.
Kedua: Maksiat (Iman surut). Manusia tidak dapat mengelakkan diri daripada melakukan maksiat, kerana syaitan dan kuncu-kuncunya sentiasa bekerja keras siang dan malam untuk menggoda setiap keturunan Nabi Adam AS.
Maksiat pula terbahagi kepada dua, iaitu ‘Maksiat Zahir,’ seperti anggota badan yang disalahgunakan, memakai pakaian yang tidak mengikut syariat Islam dan sebagainya.
Sementara ‘Maksiat Batin’ pula seperti akhlak yang buruk, nafsu yang jahat, amal yang tercela dan sebagainya.
Kesimpulannya untuk kita dapat menikmati KEMANISAN IMAN, maka kita perlu mencapai tiga perkara utama ini iaitu :
Apabila Allah dan RasulNya lebih kita cintai daripada segala-galanya.
Apabila kita cinta kerana Allah dan benci kerana Allah.
Apabila kita benci kepada perbuatan mungkar sepertimana kita benci dicampakkan ke dalam api neraka.
Bertolak dari situlah InsyaAllah kita akan sampai kepada ke puncak iman yang sebenarnya apabila dua perkara berikut ini ada dalam diri kita iaitu :
Azab di dunia ini pula dianggap sebagai nikmat (seperti ujian, cubaan dan bala daripada Allah S.W.T).