LOS ANGELES, 18 Feb – David Benavidez mudah menumbangkan Ronald Gavril untuk mempertahankan mahkota super-middleweight WBC dengan kemenangan mata sebulat suara hari ini.
Juara berusia 21 tahun dari Phoenix itu mendominasi Gavril dari Romania bagi meraih kemenangan selayaknya di Mandalay Bay Events Center, Las Vegas.
Benavidez telah menewaskan Gavril , 31, pada September lalu bagi merebut mahkota dalam satu daripada pertarungan terbaik 2017.
Dalam pertarungan hari ini, jelas hanya satu pemenang dapat dilihat, Benavidez melepaskan beberapa tumbukan dan menunjukkan pergerakan menarik mempermainkan Gavril dalam laluan meraih kemenangan besar itu.
Seorang juri memberikan mata 119-109, sementara itu, dua lagi kad lain memberikan 120-108 berpihak kepada Benavides, yang memperbaiki rekodnya 20-0 dengan 17 kemenangan knockout.
Benavidez, juara paling muda dalam dunia tinju ketika ini, berkata bahawa dia memanfaatkan peluang daripada taktik agresif Gavril.
“Saya tahu dia akan menyerang dengan agresif, seperti yang saya katakan sebelum ini bahawa dia mudah dijangka, dia tidak tahu apa-apa selain memberikan tekanan,” kata Benavidez.
“Jadi saya menggunakannya sebagai kelebihan saya, membuat tumbukan sepanjang pertarungan dan memanfaatkan setiap peluang.”
Detik penting Benavidez adalah pada pusingan keempat, apabila dia menjejaskan Gavril dengan beberapa tumbukan sehingga Gavril tersandar pada tali. – AFP