Bencana alam di Vietnam kini ragut 111 jiwa, 22 hilang

HANOI, 21 OKT – Banjir, tanah runtuh dan bencana alam lain yang melanda Vietnam kini sudah meragut 111 nyawa, manakala 22 orang lagi masih hilang setakat kelmarin, lapor agensi berita Xinhua.

Jumlah korban terutamanya dilaporkan berlaku di beberapa kawasan seperti di wilayah Quang Tri, ThuaThien-Hue dan Quang Nam, menurut Jawatankuasa Pemandu Kawalan dan Pencegahan Bencana Alam hari ini.

Seramai 60 mangsa telah dilaporkan terkorban dalam kejadian tanah runtuh dan banjir.

Misi mencari dan menyelamat masih terus dijalankan, di mana sehingga 5 petang waktu tempatan kelmarin, hampir 59,300 isi rumah dengan sekitar 206,800 orang di kawasan Ha Tinh, Quang Binh dan Quang Tri telah dipindahkan.

Walaupun hujan semakin berkurangan hari ini, risiko banjir kilat, tanah runtuh dan banjir diramal terus mengancam beberapa kawasan di Ha Tinh, Quang Binh dan Quang Nam, menurut pihak berkuasa cuaca negara.

Wakil Perdana Menteri, Trinh Dinh Dung mengingatkan penduduk di lokasi terjejas untuk bersiap berdepan kemungkinan ribut Saudel yang diramal melanda dalam beberapa hari lagi. – Bernama