Bencana alam ragut 40 nyawa di Vietnam

HANOI, 15 OKT – Banjir dan bencana alam yang dicetuskan hujan lebat di Vietnam setakat ini meragut kira-kira 40 nyawa dan menyebabkan lapan yang lain hilang, kata Jawatankuasa Pemandu Kawalan dan Pencegahan Bencana Alam hari ini.

Menurut laporan Xinhua hari ini, jumlah korban yang dilaporkan ialah seramai 36 orang manakala mereka yang cedera pula ialah 12 orang, kebanyakan mangsa dilaporkan di wilayah Quang Tri, Thua Thien Hue dan Quang Nam.

Kebanyakan yang maut disebabkan dihanyutkan arus deras, kata jawatankuasa itu.

Hujan lebat menyebabkan tanah runtuh di loji kuasa hidro di tengah wilayah Thua Thien Hue, menyebabkan kira-kira 17 pekerja hilang dan seorang ditemui maut, lapor media tempatan.

Seramai 13 anggota pasukan penyelamat dikerahkan untuk misi mencari dan menyelamat, namun sembilan daripadanya maut selepas berdepan kesukaran.

Sejak 5 Oktober, hujan lebat melanda beberapa kawasan di tanah tinggi dengan jumlah curahan hujan melebihi 2,000 milimeter.

Lebih 135,700 rumah ditenggelami dengan 585 daripadanya runtuh atau rosak. Sementara itu banyak sawah padi dan kawasan tanaman lain digenangi air.

Manakala itu, kira-kira 332,350 haiwan ternakan mati atau dihanyutkan. Sehingga 22 September, bencana alam telah menyebabkan 93 orang maut atau hilang  manakala 272 lagi cedera.

Dalam tempoh sama, bencana itu turut menyebabkan kerugian ekonomi sekitar 5 trilion dong Vietnam (AS$217.4 juta), kata jawatankuasa itu. – Bernama

Phan Gia Guang, 51, membuat teh di atas bot kayu ketika rumahnya dibanjiri di daerah Quang Dien, tengah Vietnam. Sejumlah 40 orang maut dalam banjir dan bencana alam lainnya di Vietnam. – AFP