Bencana ekologi hapus mata pencarian nelayan

PAYA AL-DELMAJ, IRAQ – Air beracun, empangan haram malah pertempuran bersenjata: sekarang menangkap ikan kap di kawasan paya sungai Iraq perlu menyelusur perairan yang terancam.

Selama berabad-abad, penduduk di selatan Iraq telah mencari nafkah dengan menternak dan menangkap ikan kap yang berasal di sungai Tigris dan Euphrates.

Hussein Serhan datang dari keturunan salah sebuah keluarga berkenaan.

Seperti bapa dan datuk sebelumnya, lelaki berusia 70 tahun itu telah menghabiskan hidupnya menangkap ikan di dasar sungai wilayah Diwaniyah.

Musim demi musim, dia menggeledah perairan yang luas terbentang untuk mencari ikan kap yang digelar ‘anaknya.’

Nelayan Iraq menyeberangi sungai menggunakan bot di paya Delmaj, timur bandar Diwaniyah, di selatan wilayah Iraq pada 5 Ogos 2020. – AFP
Gambar menunjukkan ikan mati terapung di permukaan paya Delmaj, timur bandar Diwaniyah, di selatan wilayah Iraq. – AFP
Gambar paya Delmaj semasa matahari terbenam, di timur bandar Diwaniyah di selatan wilayah Iraq. – AFP

Tahun ini, dia tidak perlu mencari jauh.Ribuan tan ikan terapung ke permukaan tanah paya – mati kesemuanya.

“Ia adalah bencana ekologi,” beritahu Serhan kepada AFP.

“Kami kehilangan semua pendapatan kami. Kami memerlukan beberapa tahun untuk berpulih.”

Punca kematian tak disangka itu masih tidak jelas, namun nelayan yang tinggal di kawasan paya mempunyai beberapa teori.

“Geng,” kata Hussein Ali, 37, yang menangkap ikan di tebing lain di paya al-Delmaj sepanjang 325 kilometer, di wilayah Wasit.

Ali dan nelayan lain menyalahkan kumpulan yang mempunyai hubungan dengan pengimport ikan meracuni bekalan tempatan, walaupun mereka tidak menyatakan jenis bahan yang telah digunakan.

“Mereka juga telah mendirikan tambak di sepanjang anak sungai yang membekalkan sumber kepada paya, yang bermakna paras air merosot,” tambah Ali.

Dia berkata sesiapa yang cuba merobohkan tambak, didirikan untuk menambah paras air dan stok ikan, menerima ugutan.

“Lebih daripada 2,000 keluarga sara hidup dengan menangkap ikan di al-Delmaj. Kami tidak tahu melakukan pekerjaan lain,” kata Ali.

Ia bukan bencana sungai pertama di Iraq: pada 2018, penternak ikan mendakwa stok mereka diracuni selepas berjuta-juta ikan kap, digunakan dalam masakan kebangsaan masgoof, mati.

Pada Mac 2019, siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyalahkan Koi Herpes Virus sebagai punca kematian, berkata simpanan stok berlebihan dan air sungai berkualiti rendah mungkin memburukkan lagi wabak.

Tahun ini, satu kajian awal oleh kementerian pertanian mengetepikan sebarang punca virus atau bakteria, maka dakwaan perbuatan khianat sekali lagi timbul.

Pada Jun, kementerian air Iraq berkata pekerjanya ditembak ketika mereka cuba merobohkan empangan haram itu.

Kemudian, pada awal Ogos, satu puak nelayan tempatan bertempur dengan sekumpulan bersenjata yang didakwa telah mendirikan beberapa tambak.

Penduduk tempatan yang marah menuduh pihak berkuasa persekutuan dan wilayah gagal melindungi paya berkenaan.

“Di manakah peranan kerajaan dalam kesemua masalah yang dihadapi? Di manakah mereka tatkala bencana mengancam menghapus bekalan ikan kami?” kata Ali.

Menteri Pertanian Iraq Mohammed al-Khafaji berkata satu siasatan telah dilancarkan.

“Kami bertekad untuk mendedahkan sesiapa yang melakukan perbuatan ini,” katanya.

Satu teori spekulatif yang tersebar di kalangan penduduk Iraq adalah syarikat Turki dan Iran yang biasanya mengimport stok makanan laut ke Iraq telah membayar orang supaya meracuni paya atau mengganggu aliran air.

Motifnya? Kebimbangan bahawa pengguna Iraq sedang memilih ikan kap yang murah, menjejas makanan laut yang diimport dalam pasaran.

Ikan kap lazimnya dijual ke negara jiran Teluk tetapi pada tahun ini, dengan sempadan ditutup berbulan-bulan lamanya disebabkan COVID-19, ikan bermisai itu membanjiri pasaran tempatan.

Penduduk Iraq telah memilih hasil tangkapan yang murah ini, disusun tinggi dalam gerai kayu, dan bukannya ikan diimport.

“Kami mampu sara diri pada tahun ini dan import telah terhenti, yang mengecewakan orang lain. Itulah sebabnya mereka melakukan perbuatan khianat ini,” kata Khafaji, enggan mengulas lanjut.

Imad al-Makrud, yang menternak ikan kap di Al-Delmaj, mendapati permintaan domestik telah meningkat.

“Kami mengurangkan harga kami untuk menjual ikan tersebut. Satu kilo merosot daripada 10,000 dinar kepada 2,000 dinar,” katanya.

“Iran dan Turki, pengeksport utama ikan ke Iraq, mengalami kerugian besar,” kata Makrud.

Paya itu menjadi tempat tinggal flora dan fauna, burung penghijrah dan kerbau besar, dengan susunya dijadikan keju berkrim yang dimakan semasa sarapan.

Hassan al-Rusha, gembala kerbau di Wasit, berkata air yang diracuni membunuh 50 haiwan ternakannya dan menyebabkan lebih 135 keguguran dalam kerbau bunting.

“Saya tidak pernah melihat kejadian seperti ini,” beritahunya kepada AFP.

Kerugian yang dialami adalah besar untuk kampungnya, yang bergantung pada kira-kira 3,000 kerbau untuk mencari rezeki.

Dan mungkin terdapat kesan berlarutan ke atas diversiti biologi tanah paya, pesuruhjaya alam sekitar Diwaniyah Raghad Abdessada mengingatkan.

“Krisis alam sekitar yang berlaku akan menjejaskan ekonomi rantau dan penduduk yang hidup bergantung pada kerja ini,” beritahunya kepada AFP.