BenchLab anjur bengkel promosikan hasil kreatif sihat

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 DIS – Sempena Festival Disember Brunei (BDF) 2021, BenchLab akan mengadakan Program Inspire and Create iaitu siri bengkel pembelajaran dalam talian berkaitan kreatif dan sesi-sesi perkongsian dinamakan Bench Talk, sepanjang Disember ini.

Menurut kenyataan BenchLab, yang merupakan platform pembelajaran sepanjang hayat, program berkenaan bertujuan untuk mempromosikan hasil kreatif yang sihat, membuka jalan bagi cita-cita seni dalam komuniti dan meningkatkan prospek kerjaya dalam pasaran pekerjaan yang sentiasa mencabar ini.

Kebanyakan bengkel dalam talian dan Bench Talk akan dihoskan menggunakan Microsoft Teams dan Zoom supaya pelajar boleh berinteraksi dengan instruktor kreatif dan bertemu dengan orang lain dari dalam rumah mereka.

Kenyataan menjelaskan, sepanjang bulan ini, BenchLab akan menyelaraskan acara bertema kreatif setiap ming-gu dengan minggu pertama ialah Minggu Fotografi yang akan diajar oleh jurugambar profesional yang berpangkalan di Brunei, Jason Ong dan Ari Kustiawan.

Sementara itu, minggu kedua akan menyaksikan Minggu Muzik untuk memberi inspirasi khususnya kepada para pencinta muzik, diikuti dengan Minggu Seni dan Kraf, di mana Izzati Rahim yang merupakan pengasas Qarya Seni akan menunjukkan seni khat dan krafnya.

Minggu Reka Bentuk Digital akan menjadi penutup program Inspire and Create,  di mana BenchLab memulakannya dengan ceramah inspirasi daripada penceramah undangan Bench Talk yang lain, Liyana Hanif dari Just Bruneians.

Di samping itu, BenchLab juga menampilkan pemasar digital tempatan, Syasya Harry dan pereka grafik, Hanif Iqbal pada minggu terakhir program.