Bencic mara ke pusingan suku akhir Terbuka Ostrava

OSTRAVA, REPUBLIK CZECH, 24 SEPT – Pemain pilihan ketiga, Belinda Bencic (gambar) berjaya menyingkirkan Sara Sorribes Tormo dari Sepanyol, 6-2, 6-3 untuk mara ke pusingan suku akhir Terbuka Ostrava, kelmarin.

Pemain kelahiran Switzerland itu bakal bertemu pemain Estonia, Anett Kontaveit. Pemain wild card dalam Terbuka Ostrava, Tereza Martincova berjaya mengejutkan pemain pilihan kelima, Anastasia Pavlyuchenkova dari Rusia, 7-6 (5), 7-6 (6), dan turut menempah nama ke slot suku akhir di kejohanan tertutup gelanggang keras.

Pavlyuchenkova, yang mara ke pusingan akhir di Terbuka Perancis tahun ini, ketinggalan 5-1 dalam set kedua akan tetapi berjaya menyelamatkan dua mata perlawanan sebelum bangkit untuk memaksa perlawanan ke set penentuan.

Pemain Czech Republik itu mensia-siakan satu lagi mata perlawanan 6-5 namun mengesahkan kemenangan ketiga menewaskan pemain 20 teratas apabila pukulan Pavlyuchenkova melepasi garisan.

Martincova akan bertemu pemain pilihan keempat, Maria Sakkari dari Greece, yang menyingkirkan Jelena Ostapenko dari Latvia, 6-4, 6-2.

Selain itu, pemain pilihan ketujuh, Elena Rybakina dari Kazakhstan mengalahkan pemain kelahiran Poland, Magda Linette, 6-3, 1-6, 6-1 untuk mara ke pusingan suku akhir buat kali keenam tahun ini dan bakal bertemu pemain pilihan utama, Iga Swiatek dari Poland.

Di perlawanan terakhir pusingan kedua, Jil Teichmann dari Switzerland menyingkirkan pemain dari Amerika Syarikat, Alison Riske, 6-3, 1-6, 6-4, dan bakal bertemu pemain pilihan kedua, Petra Kvitova dari Republik Czech. – AP