Bendera besar diturunkan

Oleh Sim Y. H. & Daniel Lim
Gambar serahan KHEDN & Pejabat Daerah Belait

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Setelah berkibar megah di ruang angkasa Bandar Seri Begawan kira-kira dua minggu, bendera besar Negara Brunei Darussalam yang dikibarkan sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-74 diturunkan dalam upacara penuh adat istiadat yang diadakan di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, hari ini.

Hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap (Keselamatan, Kesejahteraan dan Undang-Undang) di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN), Awang Mohd Amir Hairil bin Haji Mahmud selaku timbalan pengerusi bersama Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Baginda Sultan ke-74 bagi 2020.

Turut hadir ialah setiausaha bersama Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia bagi tahun ini. Pasukan Penurunan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam terdiri daripada anggota Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) yang bersiap sedia bergerak masuk.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Pegawai Hal Ehwal Masjid, Jame’ ‘Asr Hassanil Bolkiah, Awang Ahmad Syafiq bin Haji Osman.

Seterusnya lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam, ‘Allah Peliharakan Sultan’ dinyanyikan serta sejurus selepas itu, Bendera Besar Negara Brunei Darussalam diturunkan oleh anggota TLDB dan diserahkan kepada Awang Mohd Amir Hairil sebelum Doa Selamat dibacakan sebagai penutup kepada upacara berkenaan.

Anggota Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) ketika menurunkan bendera besar Negara Brunei Darussalam dalam upacara penuh adat istiadat yang berlangsung di kawasan lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah setelah dua minggu ia berkibar megah di ruang udara sempena Sambutan Perayaan Ulang tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-74, kelmarin.
Awang Mohd Amir Hairil ketika hadir pada Upacara Penurunan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam.
Penyerahan bendera yang diturunkan pada majlis yang berlangsung di Daerah Belait.

Upacara penurunan bendera besar itu menandakan berakhirnya tempoh pengibaran bendera di premis-premis kerajaan dan swasta serta rumah-rumah kediaman semua rakyat dan penduduk di Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia ke-74.

Dengan penurunan bendera besar di ibu negara, upacara serupa juga diadakan di Daerah Belait yang berlangsung di kawasan Taman Persiaran Cendera Kenangan, Kuala Belait.

Hadir menyaksikan upacara penurunan bendera tersebut ialah Pegawai Daerah Belait, Awang Ramlee bin Haji Jamudin.

Hadir sama ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin selaku penghulu Mukim Liang dan Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput selaku pemangku penghulu Mukim Labi.

Turut hadir ialah ketua-ketua jabatan dan cawangan Daerah Belait serta para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung. Penurunan bendera telah disempurnakan oleh anggota Pasukan Polis Diraja Brunei. Dengan upacara berkenaan, orang ramai hendaklah menurunkan bendera mereka pada hari ini dan hendaklah melipatnya dengan kemas serta menyimpannya di tempat yang bersesuaian.