Bendera besar mula dikibarkan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEB – Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36, tahun 2020 telah mengadakan upacara menaikkan bendera besar Negara Brunei Darussalam sebagai menandakan permulaan bagi acara-acara keraian sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 tahun 2020 bertempat di kawasan lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Bandar Seri Begawan.

Hadir selaku tetamu kehormat pada Upacara Menaikkan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam pagi tadi ialah Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ali bin Haji Apong.

Juga hadir ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin selaku pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 tahun ini.

Turut hadir ialah ahli-ahli jawatankuasa tertinggi, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, pegawai-pegawai daerah, pegawai-pegawai kanan kerajaan, wakil-wakil jabatan kerajaan dan swasta, penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung, penuntut-penuntut dan para belia.

Upacara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Pegawai Masjid, Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Begawan Mudim Haji Metassim bin Haji Metussin.

Majlis seterusnya menyaksikan anggota Tentera Laut Diraja Brunei berarak masuk bagi penyerahan dan penerimaan bendera besar Negara Brunei Darussalam daripada tetamu kehormat majlis.

Penyempurnaan upacara menaik-kan bendera besar negara diiringi dengan lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam oleh kumpulan koir Sekolah Menengah Berakas yang terdiri daripada 36 penuntut lelaki dan 36 orang penuntut perempuan, serta Pasukan Pancaragam Polis Diraja Brunei.

Majlis juga disemarakkan lagi dengan persembahan dua buah lagu patriotik dan kibaran bendera kecil.

Majlis diakhiri dengan penyampaian bendera-bendera negara dan poster-poster sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36, kepada pegawai-pegawai daerah.

Upacara Menaikkan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam di kawasan lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah di ibu negara. – Gambar oleh Muiz Matdani
Yang Berhormat Menteri Sumber-sumber Utama dan Pelancongan menyampaikan poster sambutan kepada Pegawai Daerah Brunei dan Muara, Awang Misle bin Haji Abdul Karim.