Bendera besar negara diturunkan

Oleh Sim Y. H & Daniel Lim

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Setelah berkibar megah selama kira-kira 10 hari, bendera besar Negara Brunei Darussalam diturunkan dalam upacara beradat yang berlangsung di kawasan lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, di ibu negara, hari ini.

Upacara Penurunan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 itu telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Tenaga, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw.

Turut hadir pada majlis itu ialah pengerusi-pengerusi bersama Jawatankuasa Kerja Menaikkan dan Menurunkan Bendera Besar dan Pengagihan Bendera Kecil Meja dan Program Semarak Pengibaran Bendera, ahli-ahli jawatankuasa kerja tertinggi, ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, setiausaha-setiausaha tetap, timbalan-timbalan setiausaha tetap, pegawai-pegawai kanan kerajaan, persatuan-persatuan beruniform, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan serta orang ramai.

Pada majlis tersebut, para jemputan menyaksikan Anggota Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) bergerak masuk bersama pembawa bendera dari Pasukan Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) di mana sejurus itu, lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ dinyanyikan dengan iringan pasukan koir dari Sekolah Menengah Berakas terdiri daripada seramai 36 pelajar lelaki dan 36 pelajar perempuan serta Pancaragam Pasukan Polis Diraja Brunei.

Setelah selesai lagu kebangsaan, bendera besar Negara Brunei Darussalam kemudian diturunkan serta dilipat kemas oleh anggota TLDB untuk diserahkan oleh ketua perbarisan anggota TLDB kepada Dato Seri Paduka Haji Matsatejo dan diikuti dengan bacaan Doa Selamat yang dibacakan oleh Imam Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Awang Mohd Hasnal bin Haji Mohammad bagi menutup upacara berkenaan.

Dato Seri Paduka Haji Matsatejo ketika menerima bendera besar negara daripada ketua perbarisan anggota TLDB.
Pembawa bendera dari Pasukan Polis Diraja Brunei ketika menyerahkan bendera negara kepada pegawai Daerah Belait semasa upacara berkenaan.
Pasukan koir ketika menyanyikan lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ semasa upacara menurunkan bendera di ibu negara.
Pasukan Pengibaran Bendera Besar Negara Brunei Darussalam semasa menyempurnakan upacara penurunan bendera besar negara.

Upacara penurunan bendera itu menandakan berakhirnya tempoh pengibaran bendera kebangsaan seluruh negara di jalan-jalan raya, premis-premis kerajaan dan swasta serta rumah-rumah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-36 yang bermula pada 16 Februari lalu.

Sementara itu di Daerah Belait, majlis penurunan bendera negara telah diadakan di Menara Cendera Kenangan, Kuala Belait dan hadir bagi menyaksikan upacara tersebut ialah Pegawai Daerah Belait, Awang Ramlee bin Haji Jamudin.

Juga hadir ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Hamid bin Haji Mumin selaku penghulu Mukim Liang, dan Pemangku Penghulu Mukim Labi 1, Yang Berhormat Awang Hanapi bin Mohd Siput serta penghulu mukim, ketua kampung, ahli-ahli majlis perundingan kampung dan mukim dan juga perwakilan daripada pelbagai persatuan dan agensi di Kuala Belait.

Upacara tersebut dimulakan dengan pergerakan masuk pembawa bendera dari Pasukan Polis Diraja Brunei, diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan ‘Allah Peliharakan Sultan’ yang dipimpin oleh kumpulan koir dari Sekolah Menengah Perdana Wazir, Kuala Belait.

Sejurus selepas nyanyian lagu kebangsaan, acara diteruskan dengan upacara menurunkan bendera, yang kemudiannya diserahkan kepada pegawai Daerah Belait sebelum diakhiri dengan bacaan Doa Selamat oleh Bilal Masjid Pekan Seria, Awang Mustaqim bin Haji Mustafa.