Bendera dikibarkan di empat daerah

Oleh Sim Y. H., Ak Zaki Kasharan & Daniel Lim
Gambar oleh Infofoto dan Daniel Lim

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 JULAI – Pengibaran bendera besar Negara Brunei Darussalam sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-74 tahun di ibu negara, pagi tadi, telah disusuli dengan upacara pengibaran bendera di keempat-empat daerah.

Bagi Daerah Brunei dan Muara, majlis menaikkan dan pengagihan bendera berlangsung di kawasan letak kereta, Jabatan Daerah Brunei dan Muara, di mana hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap (Dasar dan Fiskal) di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Hajah Norliah binti Haji Kula.

Di Daerah Belait, majlis berlangsung di Menara Cendera Kenangan, Jalan Sungai, Kuala Belait dan hadir selaku tetamu kehormat ialah Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Mohammad Rosli bin Haji Ibrahim.

Di Daerah Tutong, hadir selaku tetamu kehormat majlis yang berlangsung di Kawasan Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Dato Paduka Haji Mohamad Nor bin Haji Jeludin.

Manakala itu, bagi Daerah Temburong pula, majlis berlangsung di kawasan lapang Taman Pentas Perayaan Temburong dan hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof.

Pada majlis-majlis berkenaan, tetamu kehormat menyerahkan bendera kepada anggota Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB) untuk dinaikkan dengan iringan lagu kebangsaan, ‘Allah Peliharakan Sultan.’

Tetamu-tetamu kehormat turut menyerahkan bendera Negara Brunei Darussalam dan sijil penghargaan kepada penghulu-penghulu, persatuan-persatuan, pihak-pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Antara yang turut hadir pada majlis-majlis berkenaan ialah ahli-ahli majlis mesyuarat di setiap daerah, penghulu-penghulu dan pemangku penghulu mukim, wakil dari institusi-institusi pengajian tinggi dan persatuan-persatuan serta pegawai-pegawai dan kakitangan jabatan-jabatan daerah.

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Kerna Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abu Bakar menyerahkan bendera Negara Brunei Darussalam dan poster sambutan.

Yang Berhormat Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri bergambar ramai bersama pasukan beruniform selepas acara menaikkan bendera berakhir di ibu negara.
Dato Paduka Haji Mohamad Nor menyerahkan bendera kepada anggota PPDB untuk dinaikkan.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis penyerahan dan penerimaan di Daerah Temburong ialah Haji Mohammad Nazri.
Anggota polis ketika memberikan tabik hormat ketika majlis menaikkan bendera di Temburong.
Acara menaikkan bendera diadakan di Kawasan Kompleks Dewan Kemasyarakatan Tutong.
Anggota PPDB menerima bendera untuk dinaikkan di Daerah Brunei dan Muara daripada Hajah Norliah.
Haji Mohammad Rosli selaku tetamu kehormat majlis di Daerah Belait menyerahkan bendera kepada anggota polis untuk dikibarkan.
Antara yang hadir pada majlis menaik dan menyerahkan bendera di Daerah Brunei dan Muara.
Antara yang hadir pada majlis di Daerah Tutong.