KYIV, UKRAINE, 4 JULAI – Ketua Sukan Olimpik, Thomas Bach, kelmarin berkata bahawa pertubuhan itu akan memastikan atlet Ukraine boleh bertanding pada Sukan Olimpik 2024 meskipun berdepan dengan pencerobohan Rusia.
Bercakap semasa lawatan ke Kyiv bagi bertemu Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky, Bach memberi jaminan dengan berjanji untuk meningkatkan jumlah pembiayaan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) untuk atlet dari negara yang dilanda perang itu.
“Langkah tersebut akan memastikan bende-ra Ukraine akan berkibar megah pada Sukan Olimpik di Paris 2024 dan di Sukan Olimpik Musim Sejuk pada 2026 di Cortina-Milano,” kata Bach.
“IOC juga akan menggandakan dana yang telah kami sediakan pada awal pencerobohan Rusia di Ukraine daripada AS$2.5 juta kepada AS$7.5 juta,” tambahnya.
Zelensky dalam pada itu mengalu-alukan sokongan tambahan berkenaan.
“Pencerobohan Rusia telah menjadi satu kejutan yang kejam bagi atlet sukan Ukraine,” katanya, bercakap selepas pertemuannya dengan Bach.
“Ramai atlet Ukraine menyertai angkatan tentera Ukraine untuk mempertahankan negara kita, untuk mempertahankannya di medan perang.
“Seramai 89 orang atlet dan jurulatih mati akibat pertempuran tentera. Manakala seramai 13 orang lagi ditangkap dan berada dalam tawanan Rusia,” tambahnya.
Susulan itu, di antara sekatan-sekatan sukan yang telah dikenakan ke atas Rusia ialah penggantungan negara itu daripada kejohanan bola sepak antarabangsa, Grand Prix Formula One Rusia dibatalkan dan pemain tenis Rusia serta Belarus telah diharamkan daripada menyertai pertandingan Wimbledon. – AFP