LABUAN, 3 Mei – Pelaksanaan pemeriksaan imigresen yang dijalankan di Lapangan Terbang Labuan bagi semua penumpang menunjukkan bahawa kerajaan sangat mengambil berat dan serius dalam usaha bagi memantau perjalanan keluar dan masuk pendatang tanpa dokumen ke Labuan.
Pemeriksaan imigresen tanpa menjejaskan dasar aliran bebas yang sedia ada bagi sektor Sabah dan Sarawak itu dilaksanakan adalah bertujuan bagi memastikan Lapangan Terbang Labuan tidak dijadikan sebagau laluan keluar dan masuk bagi sebarang aktiviti jenayah sama ada penyeludupan dadah atau pendatang tanpa izin.
Presiden Dewan Usahawan Melayu Labuan (DUML) Datuk Seri Mohd Alias Abdul Rahman berkata pelaksanaan dasar baharu itu telah lama diketengahkan dalam sesi persidangan Parlimen oleh Anggota Parlimen Labuan dan kini akhirnya dilaksanakan.
“Pemeriksaan imigresen bukanlah undang-undang tegas imigresen yang memperlahankan aliran pengunjung ke pulau ini, sebaliknya ia adalah bagi memastikan Labuan tidak dijadikan laluan keluar masuk penjenayah atau pendatang tanpa izin,” katanya kepada Bernama hari ini.
Pemeriksaan imigresen itu dimulakan pada Selasa membabitkan penerbangan pertama
Labuan-Kuala Lumpur-Labuan, manakala pemeriksaan membabitkan penerbangan bagi sektor ke Sabah dan Sawarak akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.
Pelaksanaan pemeriksaan imigresen itu mendapat pujian daripada penumpang, yang berpendapat dasar itu akan membantu menaikkan imej pulau bebas cukai ini.
Seorang penumpang, Alfrednikko Sibil , 47, berkata dasar yang dilaksanakan itu tidak akan menyusahkan penumpang, memandangkan pemeriksaan imigresen diwajibkan di beberapa lapangan terbang utama di negara ini.
“Pulau bebas cukai ini yang memperoleh status Pusat Kewangan Antarabangsa serta hab minyak dan gas tidak sepatutnya dicemari oleh sebarang perkara-perkara atau elemen jenayah seperti penyeludupan dadah atau dijadikan laluan bagi pendatang tanpa izin,” katanya.
“Bagi saya, ia bukanlah undang-undang yang ketat. Saya berpendapat penumpang wajib melalui pemeriksaan keselamatan dan mengemukakan dokumen perjalanan, melainkan penumpang itu adalah penjenayah,” katanya. – Bernama