PARIS, 25 OGOS – Ketua pasukan Benfica, Nicolas Otamendi berkata mara ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara merupakan satu ‘objektif’ selepas kelab yang pernah menenangi kejohanan sebanyak dua kali itu terikat seri tanpa jaringan kelmarin di pusingan kedua di Eindhoven, meskipun beraksi dengan 10 orang pemain.
Pasukan Portugal tersebut bertahan dengan baik selepas Lucas Verissimo diberikan kad merah setelah memenangi pusingan pertama 2-1 minggu lalu.
“Pada permulaan perlawanan, pihak lawan mempunyai peluang namun kemudian kami beraksi dengan lebih mantap,” Otamendi memberitahu RMC Sport.
“Kami berkembang menjadi sebuah skuad yang kuat dan kami memerlukannya ketika kami beraksi dalam banyak kejohanan.
“Kami berjaya melaksanakan objektif pertama kami. Kini kami bersedia untuk beraksi di kejohanan,” tambahnya.

Jurulatih PSV, Roger Schmidt melakukan enam pertukaran daripada kemenangan 4-1 pada Sabtu ke atas Cambuur dengan pemain Ivory Coast, Ibrahim Sangare mengantikan Davey Propper yang tercedera di bahagian tengah.
Jorge Jesus menurunkan pemain bek kiri, Alejandro Grimaldo selepas pemain tersebut meledak gol pada perlawanan hujung minggu menentang Gil Vicente.
Perlawanan yang sengit berubah hangat selepas Verissimo diarah keluar padang.
Pemain bek tengah itu dilayangkan kad kuning kedua selepas mengasari Cody Gakpo ketika kedua-dua pemain cuba merebut bola di udara.
Peluang terbaik PSV hadir pada separuh masa pertama apabila bola singgah di kaki Noni Madueke namun percubaan pemain remaja England tersebut tersasar keluar.
Pasukan kendalian Schmidt terus mendominasi perlawanan selepas separuh masa, akan tetapi gagal menembusi benteng pertahanan lawan meskipun menerima dorongan daripada penyokong tempatan.
Dalam perlawanan lain, juara Switzerland, Young Boys menewaskan juara bertahan Hungary, Ferencvaros 3-2 sekali gus mencatat kemenangan agregat 6-4.– AFP