Benfica berjaya singkir PSV

PARIS, 19 OGOS – Benfica semakin hampir melayakkan diri ke peringkat kumpulan Liga Juara-Juara setelah menewaskan PSV Eindhoven 2-1 dalam perlawanan pusingan pertama play-off semalam, sekalipun pemain sayap kelab Belanda, Cody Gakpo telah menjaringkan gol yang cukup menarik di Lisbon.

Benfica, juara Eropah dua kali yang tewas kepada PSV pada final 1988, mengintai peluang untuk berada dalam peringkat kumpulan selepas tewas pada kelayakan musim lalu.

“Jaringan gol di tempat lawan tidak akan lagi dikira, tetapi 2-0 lebih baik daripada 2-1,” kata jurulatih Benfica, Jorge Jesus merujuk kepada pembatalan undang-undang gol di tempat lawan oleh UEFA.

“Pada peringkat ini, apabila anda beraksi bersama pasukan ini, aksi di laman sendiri atau di tempat lawan tidak diambil kira. Sesiapa boleh menang, kami juga boleh pergi ke Eindhoven dan menang.”

Ia adalah perlawanan kelima dalam kempen itu buat PSV, yang sudah pun menyingkirkan Galatasaray dan Midtjylland.

Aksi penyerang Benfica, Rafa da Silva semasa melakukan rembatan untuk menjaringkan gol pembukaan dalam perlawanan play-off pusingan pertama Liga Juara-Juara UEFA menentang PSV Eindhoven di Stadium Luz di Lisbon semalam. – AFP

Penyerang Portugal, Rafa Silva memberikan gol pendahulu buat tuan rumah pada minit ke-10, selepas menerima hantaran Roman Yaremchuk dan merembat ke penjuru gawang.

Benfica meledak gol kedua beberapa minit sebelum rehat selepas pemain tengah Jerman, Julian Weigl memanfaatkan kesilapan lawan di dalam kotak penalti.

Tetapi pemain sayap PSV, Gakpo merapatkan kedudukan selepas waktu rehat dengan jaringan menarik menerusi larian solo sebelum melakukan rembatan dari jarak jauh.

Percubaan Mario Goetze juga berjaya dihalang oleh Rafa Silva.

Benfica kini berpeluang untuk menempah tempat dalam undian peringkat kumpulan yang berlangsung di Istanbul pada 26 Ogos ini, jika mereka berjaya mengelak daripada ditewaskan di Eindhoven pada Selasa depan, namun jaringan Gakpo pastinya memberi keyakinan buat PSV. – AFP