Beng Hee dilantik sebagai ketua jurulatih AS

KUALA LUMPUR, 8 SEPT – Bekas pemain nombor satu Malaysia, Ong Beng Hee dilantik sebagai ketua jurulatih kebangsaan Skuasy Amerika Syarikat (US Squash) menggantikan Paul Assaiante.

Memulakan tugas baharu itu minggu lepas, Beng Hee, pemenang emas Sukan Asia dua kali itu akan menerajui pasukan Amerika Syarikat untuk memburu kecemerlangan daripada peringkat pembangunan junior hingga program berprestasi tinggi di Pusat US Squash Arlen Specter di Philadelphia.

Sebelum ini, jurulatih berusia 41 tahun itu mengetuai program kebangsaan Qatar, selaku pengarah teknikal, selama empat tahun selepas bersara daripada siri Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA) pada 2015.

“Ini adalah pencapaian terbesar saya sebagai jurulatih untuk menerajui program yang disokong dengan kemudahan menakjubkan di Pusat Arlen Specter. Ini adalah impian menjadi kenyataan kepada mana-mana jurulatih. Saya berterima kasih kepada keluarga Ganek, US Squash dan Assaiante.

“Saya mengenali Assaiante sekian lama dan tidak sabar untuk terus bekerjasama dengan beliau bagi membantu membina program yang lebih cemerlang,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan dalam laman web US Squash.

US Squash juga mengumumkan Assaiante akan terus berkhidmat dengan peranan baharu sebagai ‘emeritus’ selepas 13 tahun menjadi ketua jurulatih kebangsaan. – Bernama