Bengkel AFC berakhir

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 DIS – Bengkel Latihan Sistem Pengurusan Perlawanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang diadakan selama dua hari di Kompleks Seri Kenangan, Kiulap berakhir hari ini dengan majlis penyampaian cenderamata kepada pembentang bengkel itu.

Hadir bagi menyampaikan cenderamata kepada JC Zhang daripada Genius Sports selaku pembentang bengkel tersebut ialah Pemangku Pengarah Pertandingan NFABD, Awang Matusin bin Sumpong.

Seramai lebih 40 orang peserta menyertai bengkel yang julung kalinya diadakan bertujuan bagi menaik taraf pertandingan bola sepak di negara ini terutama dalam pengurusan semua aspek pertandingan yang dijalankan selaras dengan strategi NFABD dalam usaha memodenkan proses yang sedia ada agar menjadi lebih efektif dan bersistematik.

Awang Matusin ketika ditemui pihak media menyatakan bahawa pihak NFABD akan mula mempraktikkan segala pengetahuan yang dikongsi dan diperoleh pada bengkel tersebut dalam pertandingan Liga Super tempatan yang akan berlangsung tidak lama lagi.

Awang Matusin ketika menyampaikan cenderamata kepada JC Zhang. – Gambar ihsan NFABD