Bengkel AFC tingkatkan mutu pertandingan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Buat julung kalinya Bengkel Latihan Sistem Pengurusan Perlawanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) telah diadakan di negara ini yang bermula hari ini bertempat di Kompleks Seri Kenangan, Kiulap.

Bengkel yang diadakan selama dua hari itu, akan di sampaikan oleh para perwakilan daripada AFC yang antara lain untuk menunjuk ajar dan berkongsi pengetahuan mengenai pengurusan sistem pertandingan yang seterusnya dapat memberikan kefahaman dan latihan kepada para peserta yang menyertai bengkel berkenaan.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis pada hari pertama bengkel ialah Exco Persatuan Bolasepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD), Haji Abdul Razak bin Haji Ibrahim.

Turut hadir pada majlis yang dianjurkan bersama oleh Genius Sports dan NFABD ialah para ahli Exco NFABD, JC Zhang dari Genius Sports dan para peserta bengkel.

Bengkel tersebut juga diadakan bertujuan untuk menaik taraf pertandingan bola sepak di negara ini terutama dalam pengurusan semua aspek pertandingan yang dijalankan selaras dengan strategi NFABD dalam usaha memodenkan proses yang sedia ada agar menjadi lebih efektif dan bersistematik.

Haji Abdul Razak, JC Zhang dan ahli Exco NFABD bergambar ramai bersama peserta bengkel. – Gambar ihsan NFABD