Friday, April 26, 2024
24.1 C
Brunei

    -

    Bengkel beriga tatacara pendigitalan bahan sejarah

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Pusat Sejarah Brunei (PSB), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi dengan kerjasama Bahagian Penggambaran dan Reprographer buat julung kalinya mengadakan Bengkel Pendigitalan: Perolehan Bahan Rakaman Sejarah Lisan dari Pita Kaset (Audio Kaset) ke Audio Digital, hari ini.

    Berlangsung di Galeri Sejarah, PSB, di ibu negara, bengkel berkenaan merupakan kesinambungan Webinar Kepentingan Sumber Lisan dalam Penyelidikan Sejarah Lisan yang telah diadakan pada April lalu.

    PSB dalam kenyataan yang dikeluarkan menjelaskan bahawa sumber lisan merupakan salah satu kaedah yang digunakan dalam penyelidikan sejarah lisan melalui sesi wawancara di mana penyelidikan sejarah lisan, merupakan sumber penting dalam pengkajian sejarah negara bangsa antaranya dalam penyelidikan tokoh, salasilah, institusi, monumen dan sebagainya.

    Antara objektif bengkel adalah untuk memberigakan kepentingan pendigitalan bahan sebagai pemudah cara bagi pengumpulan, penyimpanan dan rujukan.

    Selain itu, ia juga untuk memberi pendedahan dan mengongsikan ilmu mengenai tatacara pemeliharaan bahan daripada mengalami kerosakan yang berlaku sama ada secara semula jadi atau berpunca daripada kecuaian manusia, di samping menjadikan pendigitalan bahan sebagai nilai tambah kepada perkhidmatan PSB dalam meningkatkan sistem rujukan bahan agar lebih mudah, teratur dan terarah.

    Sebahagian peserta yang menghadiri bengkel pendigitalan kelmarin.

    Bengkel diharap akan dapat mempertingkatkan kesedaran terhadap kepentingan pemeliharaan bahan-bahan rakaman audio analog ke dalam bentuk digital.

    Pada bengkel itu, Taklimat Pengenalan Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi telah disampaikan oleh Pegawai Sejarah, Dayang Adibah binti Mohd Jaafar yang antara lain mengongsikan mengenai fungsi dan peranan Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi termasuk menyelidik, mengumpul, menyimpan dan memelihara perolehan bahan.

    Beliau turut menerangkan mengenai metodologi penyelidikan yang dilaksanakan oleh bahagian tersebut seperti tatacara melaksanakan wawancara serta proses menghasilkan transkripsi dan deskripsi hasil perolehan wawancara.

    Taklimat Kaedah Penyelidikan dan Kepentingan Pendigitalan pula disampaikan oleh Pegawai Sejarah, Dayang Farahaina binti Anchong yang menjelaskan mengenai kaedah penyelidikan yang dijalankan oleh salah satu unit di Bahagian Penyelidikan dan Dokumentasi iaitu Unit Sejarah Tempatan dan Warisan.

    Sementara itu, taklimat Tatacara Pendigitalan yang disampaikan oleh Ketua Reprografer dan Penggambaran, Haji Ismandi bin Haji Timbang, pula antara lain menjelaskan mengenai kepentingan penyalinan analog audio ke dalam bentuk digital.

    Manakala itu, pada sebelah petang, Bengkel Pendigitalan secara praktikal disampaikan oleh Haji Ismandi bin Haji Timbang.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Menteri India pengsan semasa berkempen kerana cuaca panas

    NEW DELHI, 25 APRIL - Seorang menteri India telah pengsan semasa berucap pada perhimpunan pilihan raya kerana cuaca panas ketika biro cuaca negara itu...