Bengkel Braille, Orientasi, Mobiliti ke-5 dirasmikan

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Seramai 25 orang yang terdiri daripada orang persendirian, agensi kerajaan dan swasta, menyertai Bengkel Braille, Orientasi dan Mobiliti ke-5 yang berjalan selama 12 hari bermula hari ini dengan majlis perasmian di Dewan Darul Imtiyaz, Pusat Bahagia Brunei dan Muara, Kampung Pulaie.

Perasmian bengkel berkenaan telah disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin.

Turut hadir ialah Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Pengiran Haji Mohd Hasnan bin Pengiran Haji Ali Hassan dan Timbalan Setiausaha Tetap KKBS, Dayang Saidah binti Haji Wahid, serta pegawai-pegawai kanan di JAPEM.

Bengkel anjuran Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM), KKBS dengan kerjasama Unit Pendidikan Khas (UPK), Kementerian Pendidikan; Unit Oftalmologi, Kementerian Kesihatan; dan Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (BDNAB) itu dihasratkan dapat meningkatkan perasaan empati kepada golongan orang kelainan upaya (OKU) penglihatan.

Majlis telah dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh seorang individu OKU penglihatan, Awang Mohammad Hakim Imanuddin bin Asarwin dan diteruskan dengan ucapan daripada Timbalan Presiden BDNAB, Awang Izan Safre bin Radat. Awang Izan Safre dalam ucapannya menjelaskan, bengkel berkenaan dijangka akan disertai oleh 150 orang peserta golongan sasar iaitu pelajar-pelajar, ibu bapa dan keluarga, guru-guru, pegawai dan kakitangan kerajaan dan sukarelawan.

Yang Berhormat Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan ketika hadir pada majlis tersebut.
Pengiran Haji Suhardi ketika menyampaikan sumbangan mesin braille kepada Yang Berhormat Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Menurutnya, bengkel akan dibahagikan kepada lima sesi, di mana setiap sesi akan melibatkan 30 orang peserta dan dalam bengkel selama 12 hari itu, mereka akan didedahkan serta akan mempelajari asas, ‘immediate’ serta ‘advanced’ khusus untuk latihan braille dan juga orientasi dan mobiliti.

Beliau turut menyatakan, antara tujuan bengkel adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan huruf-huruf berbentuk braille kepada OKU penglihatan seperti dalam buku-buku bacaan, nota-nota pelajaran dan lain-lain lagi di samping memberikan maklumat dan cara-cara orientasi dan mobiliti bagi OKU penglihatan.

Beliau mengongsikan bahawa pada tahun lalu, seramai 149 orang peserta telah menyertai bengkel berkenaan yang telah diadakan empat kali.

Selepas perasmian, majlis juga diselajurkan dengan penyampaian sumbangan mesin braille oleh Penasihat Hubungan Kerajaan dan Protokol Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Pengiran Haji Suhardi bin Pengiran Haji Nordin selaku wakil BIBD kepada tetamu kehormat.

Acara turut mendengarkan taklimat ringkas oleh Timbalan Ketua Oftamologi, Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha, Kementerian Kesihatan, Pengiran Dr Noor Afizan binti Pengiran Haji Abdul Rahman dan sesi kongsi pengalaman mengenai cabaran yang dihadapi oleh OKU penglihatan yang disampaikan oleh timbalan presiden BDNAB.