Bengkel dedah, tingkatkan minat sukan petanque

Oleh Daniel Lim

BELAIT, 22 FEB – Selepas kejayaan menganjurkan bengkel mengenai pertunjukan beberapa jenis sukan bagi menarik minat penduduk di daerah ini, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Daerah Belait telah meneruskan bengkel, kali ini menumpukan kepada petanque, yang diadakan di Dewan Serba Guna, Kompleks Sukan Mumong, kelmarin.

Bengkel dihadiri oleh lebih daripada 30 orang yang bukan sahaja terdiri daripada kakitangan JBS, tetapi juga penuntut-penuntut dan guru-guru dari pelbagai sekolah di Daerah Belait.

Bengkel tersebut merupakan kerjasama Persekutuan Petanque Brunei Darussalam, yang memberikan tunjuk ajar dalam asas sukan itu kepada orang ramai.

Antara maklumat yang disampaikan termasuk pengenalan teori sukan petanque dan peraturan permainan serta cara-cara bermain.

Turut diadakan demonstrasi secara praktikal bagi memberikan peserta untuk merasai sendiri bagaimana untuk memainkan sukan tersebut.

Para peserta bengkel mencuba sendiri bermain sukan petanque semasa acara tersebut.

Tunjuk ajar telah disampaikan oleh tenaga pengajar daripada persekutuan.

Menurut salah seorang ahli jawatankuasa Persekutuan Petanque Brunei Darussalam, Dayang Surtini binti Haji Abidin, menjelaskan bengkel tersebut bukan sahaja untuk menyampaikan maklumat mengenai sukan petanque, malahan juga untuk meningkatkan minat terhadap sukan tersebut.

Selain itu, beliau turut berharap dengan mengadakan bengkel tersebut ia akan dapat mendirikan asas dalam mengembangkan serta membangunkan sukan di negara ini.

Tambahnya lagi ia juga bagi memupuk kemahiran dan bakat pemain berpotensi untuk bersaing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

JBS Daerah Belait akan terus mengadakan bengkel seumpamanya pada masa akan datang dengan tujuan untuk memperkenalkan pilihan sukan yang berbagai-bagai di negara ini dan meningkatkan minit golongan individu dan belia.

Bengkel juga diharap dapat membantu meningkatkan sukan selain menyampaikan dan mendemonstrasikan sukan agar dapat membantu memberi inspirasi dan menyamai generasi seterusnya bagi peringkat kebangsaan dan antarabangsa.