Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    Bengkel Intensif Belia Syumul bermula Okt ini

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 SEPT – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) akan mengendalikan Bengkel Intensif Belia Syumul Harapan Negara yang akan bermula pada bulan Oktober 2022 sehingga Februari 2023 secara bersiri.

    Hadir selaku tetamu kehormat dalam majlis perasmian bengkel yang diadakan Sabtu lalu ialah Setiausaha Tetap (Kebeliaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Haji Zakaria bin Haji Serudin, yang seterusnya menyempurnakan perasmian bengkel di Dewan Tarbiah, kolej berkenaan.

    Pada majlis pelancaran bengkel itu, Kertas Perdana bertajuk ‘Membangun Belia Syumul Berasaskan Sunah’ telah disampaikan oleh Ra’es KUPU SB, Dr Haji Adanan bin Haji Basar.

    Beliau menjelaskan untuk menjadi belia yang beriman, bertakwa dan syumul, mereka perlu sentiasa merujuk kepada Al-Quran dan sunah termasuk mengenali Rasulullah SAW iaitu dengan mempelajari sirah dan keperibadian serta sunah Baginda.

    Beliau seterusnya menasihatkan untuk mengamalkan ajaran sunah Rasulullah SAW dan melazimkan selawat serta salam kepada Baginda dan ahli keluarga.

    Haji Zakaria bersama tetamu lain hadir pada majlis perasmian Bengkel Intensif Belia Syumul Harapan Negara di KUPU SB.
    Dr Haji Adanan semasa majlis pelancaran bengkel dengan menyampaikan kertas perdana bertajuk ‘Membangun Belia Syumul berasaskan Sunah’.

    Dr Haji Adanan juga menambah, membentuk belia syumul adalah dengan membina kerohanian termasuk melazimkan diri dalam wuduk, memantapkan bacaan Surah Al-Fatihah, melazimkan solat berjemaah di masjid, duduk di saf hadapan, memahami wirid dan doa, mengamalkan zikir amalan sunah siang dan malam, solat sunat, doa dengan adab dan khusyuk mengamalkan rutin membaca Al-Quran.

    Turut membentangkan kertas kerja utama ialah Prof Madya Dr Yusuf Khalid, yang menyentuh mengenai cabaran belia syumul pada era sekarang dengan belia perlu bersiap siaga untuk mengukuhkan pemikiran dan jati diri mereka agar sentiasa kuat dalam menghadapi isu mendatang.

    Dengan tema ‘Belia Siaga Masa Depan’, antara tajuk bengkel yang akan diketengahkan ialah ‘Pengukuhan Akidah Ahli Sunnah Waljama’ah’, ‘Belia Pencinta Al-Quran dan Hadis’,

    ‘Kepimpinan Belia Melayu Islam Beraja’, dan ‘Belia Pemerkasa Jawi dan Kitab Turath’.
    Antara objektif bengkel ini diadakan adalah untuk memupuk kesedaran kepentingan penghayatan Ahli Sunnah Waljama’ah dan mengamalkan ajarannya dalam kalangan para belia, selain itu, bagi mendidik para peserta supaya sentiasa istiqamah dalam memahami dan mengamalkan menghayati konsep ajaran aliran kefahaman Ahli Sunnah Waljama’ah dalam kehidupan seharian.

    Penghayatan terhadap kefahaman aliran Ahli Sunnah Waljama’ah dan memperkukuh kefahaman aliran ini antara perkara utama yang sentiasa diberi perhatian oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam agar generasi masyarakat Brunei khususnya para belia tidak akan terpesong dengan sebarang ajaran yang menyeleweng serta terpedaya dengan bermacam-macam teori dan pendapat serta ideologi yang menyalahi ajaran Ahli Sunnah Waljama’ah.

    Belia adalah tonggak utama negara dalam menentukan hala tuju dan kemajuan negara pada masa depan. Betapa pentingnya belia pada sesebuah negara adalah terletak pada peranan belia itu sendiri sebagai pemacu kepada kemajuan pembangunan negara pada masa depan.

    Mempersiapkan diri belia dengan ‘acuan’ yang berkualiti adalah penting untuk melahirkan belia yang cemerlang.

    Antara peserta yang menyertai bengkel itu termasuk belia-belia da’ie, belia-belia masjid, sukarelawan belia, pelatih, Pusat Pembangunan Belia, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), alumni Program Khidmat Bakti Negara, KKBS serta mahasiswa dan mahasiswi dari institusi pengajian tinggi.

    Bengkel turut dibukakan kepada orang awam yang berminat dengan pertanyaan lanjut bolehlah menghubungi Pegawai Penyelidik Pusat Pengkajian Kefahaman Ahli Sunnah Waljama’ah, KUPU SB di talian +673 862 8213.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...