Bengkel kenderaan perlu diiktiraf, berdaftar

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 FEB – Jabatan Pengangkutan Darat (JPD) menyarankan bengkel-bengkel kenderaan yang tidak berdaftar supaya tampil bagi menjalani pemeriksaan dan mendaftar.

Saranan itu dibuat oleh Jabatan Pengangkutan Darat dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, yang menyatakan bahawa JPD, Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi berserta agensi-agensi berkenaan iaitu Unit Sukatan dan Timbangan, Kementerian Kewangan dan Ekonomi; Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Bandaran Bandar Seri Begawan dan Jabatan Daerah Brunei dan Muara, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; pihak Berkuasa Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi), Jabatan Perancang Bandar dan Desa dan Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan; Autoriti Kebangsaan Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) dan Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Alam Sekitar, Kementerian Kesihatan akan meneruskan operasi pemeriksaan terhadap bengkel-bengkel kenderaan yang beroperasi di negara ini khususnya bengkel-bengkel yang tidak berdaftar dengan JPD.

Kenyataan menyatakan bahawa hasil daripada operasi sepadu agensi-agensi berkuasa mendapati adanya bengkel-bengkel tidak berdaftar dengan JPD melalui Skim Pengiktirafan Bengkel yang tidak beroperasi mengikut piawaian atau pengiktirafan keselamatan, kesihatan dan alam sekitar sama ada dari segi praktis, prosedur, amalan, keadaan premis dan bangunan bengkel, peralatan, alat ganti dan kepakaran.

Bengkel-bengkel yang tidak berdaftar dan tidak diiktiraf boleh menimbulkan pelbagai isu keselamatan apabila kenderaan diguna pakai di jalan raya sekiranya kerja-kerja yang dibuat tidak betul mengikut prosedur, peralatan dan kepakaran, misalnya kejadian kebakaran kenderaan yang sering berlaku dan juga kemalangan jalan raya berpunca daripada kenderaan-kenderaan yang tidak selamat untuk digunakan.

Mengikut perangkaan pihak Pendaftaran Syarikat-syarikat dan Nama-nama Perniagaan (ROCBN) terdapat melebihi 1,000 buah syarikat yang menjalankan perniagaan yang membabitkan perniagaan mengendalikan bengkel kenderaan di negara ini termasuk sejumlah 66 buah bengkel didapati setakat ini menjalankan perniagaan di kawasan skim perumahan tanpa kebenaran.

Daripada jumlah itu, hanya sejumlah 58 buah bengkel kenderaan sahaja yang berdaftar dengan JPD di bawah Skim Pengiktirafan Bengkel iaitu 52 buah di Daerah Brunei dan Muara, sebuah di Daerah Tutong dan lima buah di Daerah Belait.

Sehubungan itu, JPD sekali lagi memohon kerjasama semua pihak khususnya pengusaha atau pemilik bengkel-bengkel yang belum berdaftar dengan JPD supaya tampil dan menjalani pemeriksaan dan pengiktirafan bengkel mengikut Skim Pengiktirafan Bengkel.
Orang ramai yang ingin untuk mendapatkan sebarang maklumat lanjut, bolehlah melayari e-mel [email protected]

JPD menyarankan bengkel-bengkel kenderaan yang tidak berdaftar supaya tampil bagi menjalani pemeriksaan dan mendaftar.