Bengkel KKBT dapat sambutan

Oleh Salawati Haji Yahya

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 Sept – Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan melalui Pusat Belia di ibu negara menganjurkan ‘Bengkel Pengurusan dan Pentadbiran Kelab Komuniti Belia Transformasi (KKBT)’.

Bengkel yang julung kali diadakan itu berlangsung di Dewan Silaturahim Pusat Belia baru-baru ini dan disertai oleh 30 ahli KKBT.

Peserta yang terdiri daripada ketua-ketua biro, penolong ketua-ketua biro, urus setia biro dan ahli KKBT itu antara lain bertujuan untuk memberikan pengetahuan mengenai kaedah.

Di samping itu juga, ia untuk meningkatkan pengetahuan dalam tatacara berkaitan hal ehwal  pentadbiran dan pengurusan sesebuah organisasi serta perkumpulan dan seumpamanya iaitu dalam melaksanakan apa pun jenis aktiviti.

Bengkel ini juga memberikan penekanan kepada peserta supaya mereka lebih bersistematik dalam merancang pengendalian aktiviti sebelum fasa pengimplementasian.

Gambar beramai peserta bengkel dengan pegawai Pusat Belia Bandar Seri Begawan.

KKBT mempunyai pecahan kumpulan operasinya yang dinamakan sebagai biro iaitu Biro Keagamaan; Biro Pendidikan, Biro Keusahawanan, Biro Kemasyarakatan; Biro Seni dan Budaya serta Biro Sukan dan Riadah. Sejak penubuhannya, KKBT telah menerima lebih 500 pendaftaran keahlian.

Bengkel ini diharap dapat membantu para belia KKBT dalam hal memperkasa sikap percaya diri terhadap kemampuan mereka dan seterusnya menjadikan mereka lebih proaktif.

KKBT Pusat Belia Bandar Seri Begawan mula ditubuhkan pada 27 Ogos 2017 sempena memperingati 50 tahun majlis peletakan batu asas bangunan Pusat Belia Bandar Seri Begawan.

Penubuhan KKBT merupakan satu inisiatif ke arah pembinaan dan pembangunan kapasiti belia sukarelawan yang berkualiti sejajar dengan gagasan Wawasan Brunei 2035.