Saturday, April 20, 2024
29.4 C
Brunei

    -

    Bengkel kongsi kepakaran pengurusan bencana

    Oleh Salawati Haji Yahya

    BANDAR SERI BEGAWAN, 4 OGOS – Sebagai sebahagian daripada Program Felo Sains Kedutaan Amerika Syarikat (AS), Felo Sains AS, Kyle Pfeiffer berada di Brunei untuk bekerjasama dengan pegawai kerajaan bagi penubuhan Pusat Perubahan Iklim ASEAN yang baharu.

    Beliau yang berada di negara ini dari 25 Julai hingga 2 Ogos lalu telah mengadakan perundingan dengan pegawai dari Sekretariat Perubahan Iklim Brunei, Kementerian Pembangunan, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) termasuk wakil dari Universiti Brunei Darussalam (UBD), Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Pusat Kajian Strategik dan Dasar (CSPS).

    Selain itu, beliau juga menganjurkan tiga bengkel pembangunan kapasiti mengenai decarbonization, membina agenda penyelidikan pusat iklim, pengurusan bencana bersama pakar dari Makmal Kebangsaan Argonne (ANL), Jabatan Tenaga AS.

    Bengkel tersebut telah dihadiri oleh pegawai-pegawai, akademik, wakil dari sektor swasta di Jabatan Tenaga, Pusat Pengurusan Bencana Kebangsaan, Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Pertahanan, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP), UBD, UTB, Brunei LNG Sdn Bhd, Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) dan Berakas Power Company.

    Beliau yang merupakan pengarah di Pusat Ketahanan Iklim dan Sains Keputusan di ANL yang terletak di luar Chicago, Illinois juga mengadakan perundingan dengan Ketua Sekretariat Perubahan Iklim Brunei, Awang Ahmad Zaiemaddien bin Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi mengenai trajektori Pusat Perubahan Iklim ASEAN, selain mendalami rangka kerja operasi dan reka bentuk penyelidikannya, mengenal pasti model iklim yang sesuai, dan membincangkan peluang untuk AS memberikan sokongan.

    Di samping itu, beliau juga berkongsi kepakarannya dan cadangan dengan Setiausaha Tetap Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Perubahan Iklim, Haji Azhar bin Haji Yahya, dan Pengarah Jabatan ASEAN di Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri, Awang Garry Ramlee bin Ibrahim.

    Selain itu, Kyle Pfeiffer juga mengadakan pertemuan dengan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Muhammad Juanda bin Haji Abdul Rashid; setiausaha-setiausaha tetap di Kementerian Pembangunan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak dan Ir Haji Amer Hishamuddin bin Pehin Orang Kaya Amar Pahlawan Dato Seri Setia Haji Zakaria, serta Timbalan Setiausaha Tetap, Sr Hajah Norhayati binti Haji Mohd Yaakub dan Dayang Aldila binti Haji Mohamad Salleh.

    Ini merupakan lawatan pertama Pfeiffer ke Brunei di mana beliau telah berunding dengan Sekretariat Perubahan Iklim Brunei sejak Mac 2021 mengenai penubuhan Pusat Perubahan Iklim ASEAN.

    Kyle Pfeiffer menyampaikan bengkel semasa lawatan ke negara ini, baru-baru ini. – Gambar serahan Kedutaan AS di Brunei
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...