Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 DIS – Dalam usaha untuk menarik peminat penulis muda yang berusia 15 hingga 35 tahun, sebuah bengkel telah diadakan yang bertujuan untuk menghasilkan karya sastera dan seterusnya menjadikan penulis muda sebagai pelapis kelangsungan sasterawan Brunei di masa depan.
Bengkel Penulisan Drama (skrip drama pentas) telah diadakan hari ini secara dalam talian di bawah bimbingan Pensyarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam (UBD), Awang Mohd Zefri Ariff bin Mohd Zain Ariff. Pembukaan Program Penulis Muda dirasmikan oleh Ketua Bahagian Sastera dan Majalah, Dr Haji Mohd Ali bin Haji Radin selaku pengerusi dan pengasas Program Penulis Muda, sekali gus memberikan ucapan alu-aluan.
Program Penulis Muda 2021 merupakan program kali ke-4 sejak ia dilaksanakan pada 15 Oktober 2019 dan pada kali ini mengetengahkan beberapa sesi yang meliputi pelajaran mengenai asas dan teknik penulisan skrip drama, membuat praktikal penulisan skrip drama dan seterusnya menghasilkan skrip drama.