Bengkel lahirkan pemimpin dalam kalangan pelajar

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Sekolah Menengah Arab Laki-laki Hassanal Bolkiah (SMALHB) melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar, kelmarin, telah menganjurkan Bengkel Kepimpinan Pelajar bagi Majlis Pelajar dan Raid-Raidah sesi 2021-2022M yang diadakan secara maya melalui aplikasi Zoom.

Hadir dan turut serta me-ngongsikan pengalaman dan berinteraksi dengan para pelajar ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Dayang Khairunnisa binti Haji Ash’ari selaku yang di-pertua Majlis Belia Brunei (MBB).

Seramai 36 orang ahli Majlis Pelajar dan 40 orang Raid-raidah telah menghadiri bengkel berkenaan yang berobjektif untuk melahirkan pemimpin yang dapat menjadi contoh kepada pelajar lain, membina individu yang berkeyakinan dan berketerampilan sebagai seorang pemimpin dan menanam sikap tanggungjawab dan melaksanakan tugasan yang diamanahkan dengan jujur dan dedikasi.

Menurut kenyataan SMALHB, bengkel yang dikendalikan oleh Jabatan Belia dan Sukan dan MBB itu julung kalinya diadakan secara maya memandangkan situasi COVID-19 yang melanda negara.

Para penyelaras dan fasilitator bengkel terdiri daripada pegawai Jabatan Belia dan Sukan dan ahli MBB.

Semasa bengkel tersebut, ahli-ahli MBB telah menayangkan beberapa video pendek antaranya mengenai Dasar Belia Negara dan Strategi (DBNS) dan Mangalinga. Turut diadakan ialah sesi Energizer dan ice-breaking dan aktiviti-aktiviti berbentuk kemahiran untuk mengasah kebolehan pelajar supaya menjadi pemimpin dan mendedahkan mereka dalam menangani situasi yang bakal berlaku sekiranya menjadi pemimpin kelak.

Yang Berhormat Dayang Khairunnisa juga memberikan nasihat serta kata-kata semangat agar para pelajar dan belia berjinak-jinak menyertai persatuan, sukarelawan atau ikut serta aktiviti di dalam atau luar sekolah yang akan membantu membina keyakinan diri, pandai berdikari serta berani tampil di hadapan masyarakat dan pada masa yang sama pandai mengatur masa.

Pada bengkel kepimpinan tersebut, beliau juga menawarkan kepada sesiapa yang berminat untuk bercucuk tanam dengan mendapatkan pokok-pokok buah dan bunga secara percuma demi memastikan bumi Negara Brunei Darussalam terus kekal hijau.

Antara yang menghadiri bengkel kepimpinan pelajar secara maya itu – Gambar serahan SMALHB