Bengkel Latihan Pemimpin TVET

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Program Latihan Serantau dalam Industri Latihan dan Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) Industri 4.0 (IR4), Bengkel Latihan Pemimpin, yang dianjurkan oleh Pusat Serantau SEAMEO VOCTECH (SV), dengan kerjasama TEMASEK Foundation dan ITE Education Services, Singapura telah mengadakan majlis perasmiannya di ITEES Singapura, secara dalam talian hari ini.

Program berkenaan merupakan kolaborasi kali ketiga di antara ketiga-tiga organisasi. Dalam sesi kali ini, pelaksanaan program latihan meluaskan penyertaannya yang bukan sahaja untuk para guru tetapi juga untuk pemimpin dan pengurus sekolah.

Program tersebut juga menawarkan program peningkatan kemahiran teknikal (TSUP) untuk para pakar pendidikan dan TVET dalam industri 4.0 dengan topik seperti Robotik dan sistem pintar, pemprosesan dan teknologi makanan dan pengurusan hotel industri 4.0.

Dua pusingan TSUP telah berjaya dijalankan sejak tahun 2013, dengan sebanyak 1465 guru atau pelatih TVET di Asia Tenggara, termasuk Negara Brunei Darussalam telah mendapat manfaat daripada program berkenaan.

Pengarah Pusat SV, Awang Alias bin Haji Abu Bakar dalam ucapannya pada majlis perasmian ituberkata, latihan dan bengkel untuk pemimpin sekolah TVET telah berlangsung pada waktu yang tepat, dengan mempertimbangkan kedatangan IR 4.0, di mana terdapat keperluan yang tidak dapat dinafikan bagi pemimpin untuk bersikap proaktif dan siap dengan kemahiran kepemimpinan yang sesuai sehingga dapat memberi inspirasi serta memimpin tenaga kerja untuk menerapkan perubahan.

Beliau menambah bahawa untuk program latihan ini, pusat ini berjaya mengumpulkan 59 pemimpin TVET yang berasal dari sembilan daripada 11 buah negara anggota SEAMEO terdiri daripada Negara Brunei Darussalam, Kemboja dan Indonesia, masing-masing dengan 10 peserta, manakala Laos, Malaysia, Myanmar, dan Thailand, masing-masing dengan lima peserta, Filipina dengan tujuh peserta dan Vietnam, dengan dua peserta.

Beliau kemudian menyatakan harapannya bahawa program latihan itu akan memberi kesan yang signifikan terhadap kemahiran pedagogi dan teknikal kepada semua peserta, di mana dia yakin akan memperkuat serta meningkatkan pendidikan vokasional dan teknik di rantau ini.

Awang Alias semasa menyampaikan ucapannya pada majlis perasmian bengkel tersebut secara dalam talian kelmarin. – Gambar serahan SV