Bengkel lengkapi belia dengan pengetahuan, kemahiran penting

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Persatuan Kemajuan Insan (KESAN) meneruskan Siri Building Your Strength dengan mengadakan bengkel interaktif mengenai kecerdasan emosi.

Program yang disasarkan untuk pelajar institusi tinggi tersebut adalah bagi melengkapkan para belia dengan pengetahuan dan kemahiran penting untuk memahami dan mengatur emosi diri dan dengan itu, menguruskan hubungan dengan orang lain dengan kecerdasan dan empati.

Bengkel dihadiri oleh peserta dari pelbagai institusi tinggi di negara ini dan ahli jawatankuasa KESAN.

Kandungan dan aktiviti bengkel direka untuk memperluas pengetahuan peserta mengenai pelbagai aspek kecerdasan emosi seperti kesedaran diri, peraturan diri, motivasi, empati dan kemahiran sosial.

Dalam bengkel tersebut, Dayang Sarah binti Haji Abdul Mutalif selaku penceramah telah menekankan bahawa salah satu aspek kecerdasan emosi yang paling penting adalah pengaturan diri.

Beliau menyatakan peraturan diri adalah kemampuan untuk mengurus emosi kita dan mengendalikan tindakan kita dengan betul dan salah satu cara untuk meningkatkan aspek ini adalah dengan mengetahui nilai-nilai anda dan mengambil tindakan yang bertanggungjawab.

KESAN akan menganjurkan dua lagi program siri Build Your Strength bagi individu berumur 19 hingga 24 tahun sepanjang tahun ini.

Antara belia yang menghadiri bengkel Building Your Strength anjuran KESAN. – Gambar serahan KESAN