Bengkel memperkasa kemahiran pengusaha tempatan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 OGOS – Dengan kerjasama Darussalam Enterprise (DARe), Bank Baiduri telah menganjurkan satu siri bengkel latihan kemahiran bagi pengusaha-pengusaha tempatan sebagai sebahagian daripada komponen Akademi Perniagaan Industri (IBA).

Susulan kejayaan bengkel pertama pada April lalu, bengkel kedua bertajuk From Why To How – Engaging Employees With What They Desire telah diadakan hari ini dan dikendalikan oleh Pensyarah Adjung dari Institut Sumber-sumber Manusia Singapura (SHRI Academy), Tham Chien Ping.

Menurut kenyataan yang keluarkan Bank Baiduri, bengkel berkenaan memfokuskan kepada menangani cabaran-cabaran dalam menarik, mengekalkan dan memotivasikan bakat-bakat. Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui dipetik

menjelaskan, bengkel berkenaan adalah yang kedua daripada satu siri bengkel yang akan dijalankan oleh Bank Baiduri dengan kerjasama DARe bagi 2019.

Kenyataan menjelaskan, kerjasama antara Bank Baiduri dan DARe itu bermatlamat untuk melaksanakan satu siri bengkel latihan yang direka untuk melengkapkan program-program latihan yang ditawarkan IBA, dengan itu, menyediakan kurikulum latihan yang lebih komprehensif dan lengkap kepada para pengusaha tempatan, memperkasa mereka untuk mencapai kejayaan lebih tinggi dalam perniagaan mereka.

Gambar ramai para peserta bersama Tham Chieng Ping di bengkel tersebut.